JW subtitle extractor

“Hendaklah Kamu Berani dan Teguh, dan Laksanakanlah Tugasmu”! (1 Tawarikh 28:1-20; 1 Samuel 16:1-23; 17:1-51)

Video Other languages Share text Share link Show times

Yehuwa sangat menghargai
keberanian para penyembah-Nya.
Namun, seperti sifat-sifat murni yang lain,
keberanian sejati perlu
ditunjukkan melalui perbuatan.
Contohnya,
“iman yang tidak disertai perbuatan
ialah iman yang mati.”
Begitu juga,
kasih kita tidak boleh
“sekadar ucapan di bibir,”
tetapi mesti “tulus
dan dibuktikan melalui perbuatan.”
Semasa dilanda kesusahan,
kita mesti yakin pada Yehuwa,
tetapi keyakinan itu mesti disertai perbuatan.
Orang yang tidak cukup berani
akan teragak-agak untuk bertindak.
Keberanian harus mendorong kita
bertindak dan bercakap tanpa gentar.
Yehuwa akan memberkati keberanian
kita dan membantu kita berjaya.
Kisah hidup Daud dalam
Bible membuktikan hal ini.
Daud bertindak dengan berani untuk
melakukan kehendak Yehuwa.
Biarpun dia tersandung
dan menghadapi banyak kesusahan,
dia tetap setia kepada Yehuwa
sampai akhir hayatnya.
Tidak lama sebelum Daud meninggal,
dia mengamanahkan tugas membina
Rumah Yehuwa kepada anaknya Salomo.
Bayangkan perasaan Salomo
semasa Daud berinya rekaan
yang diilhami Yehuwa sendiri!
Dia pasti rasa tugas itu terlampau berat.
Tetapi Daud telah menggalakkannya,
dan kata-kata Daud juga
dapat menguatkan kita
semasa kita menghadapi cabaran.
Kami jemput anda semua,
termasuk adik-adik dan anak muda
untuk membuka Bible sendiri
dan mengikuti pembacaan
1 Tawarikh 28:1-20.
Saya ulangi,
1 Tawarikh
bab 28.
Kita mula dengan ayat 1.
Daud memanggil semua pemimpin
orang Israel ke Yerusalem.
Dia memanggil semua ketua suku,
ketua kumpulan yang berkhidmat kepada raja,
ketua atas 1,000 orang,
ketua atas 100 orang,
dan ketua yang menjaga segala harta benda
dan ternakan milik raja dan anak-anaknya.
Dia juga memanggil pegawai istana
dan semua lelaki yang
berkebolehan dan gagah perkasa.
Kemudian Raja Daud berdiri dan berkata,
Dengarlah, hai saudara-saudara
dan rakyat beta!
Beta berhasrat untuk membina
sebuah rumah yang tetap
untuk tabut perjanjian Yehuwa.
Rumah itu akan menjadi alas kaki Tuhan kita.
Beta telah membuat persiapan
untuk membina rumah itu.
Tetapi Tuhan yang benar berfirman kepada beta,
“Engkau tidak akan membina sebuah rumah
untuk memuliakan nama-Ku,
kerana engkau telah banyak kali
berperang dan menumpahkan darah.”
Walaupun begitu,
Yehuwa, Tuhan orang Israel,
memilih beta daripada
seluruh keluarga ayahanda beta
untuk menjadi
raja Israel buat selama-lamanya.
Dia memilih Yehuda sebagai pemimpin,
dan daripada suku Yehuda,
Dia memilih keluarga ayahanda beta.
Kemudian daripada kalangan adik-beradik beta,
Dia berkenan kepada beta
dan memilih beta
untuk menjadi raja seluruh Israel.
Yehuwa telah mengurniakan
banyak putera kepada beta.
Daripada kalangan putera beta,
Dia telah memilih Salomo
untuk duduk di atas takhta milik Yehuwa
dan memerintah kerajaan Israel.
Tuhan berfirman kepada beta,
“Anakmu Salomo akan membina sebuah
rumah dan halaman rumah untuk-Ku.
Aku telah memilihnya untuk menjadi anak-Ku,
dan Aku akan menjadi bapanya.
Aku akan mengukuhkan
pemerintahannya buat selama-lamanya
jika dia mematuhi ketetapan
dan hukum-hukum-Ku dengan sepenuh hati,
seperti yang dilakukannya sekarang.”
Oleh itu,
beta berkata di hadapan semua orang Israel,
sidang Yehuwa,
dan di hadapan Tuhan kita:
Kenalilah dan patuhilah
semua hukum Yehuwa, Tuhanmu,
agar engkau mendapat negeri yang baik
dan mewariskannya kepada
keturunanmu yang akan datang.
Hai anakku, Salomo,
hendaklah kamu mengenali
Tuhan ayahandamu.
Sembahlah Dia dengan
sepenuh hati dan rela hati.
Hal ini demikian kerana Yehuwa
menyelidiki hati semua orang,
dan Dia tahu fikiran dan keinginan mereka.
Carilah Dia,
dan Dia akan membiarkan
diri-Nya ditemukan olehmu.
Namun
jika kamu meninggalkan-Nya,
Dia juga akan meninggalkan
kamu buat selama-lamanya.
Wahai anakku,
ingatlah bahawa Yehuwa
telah memilih kamu
untuk membina sebuah rumah
yang akan menjadi tempat suci.
Hendaklah kamu berani dan teguh,
dan laksanakanlah tugasmu!
Kemudian Daud memberikan pelan
menara kepada Salomo,
dan juga pelan bilik-bilik,
termasuk bilik stor,
bilik di bumbung,
bilik di bahagian dalam Rumah Tuhan,
dan bilik tempat pengampunan dosa.
Daud memberi Salomo semua pelan
yang telah disingkapkan
kepadanya menerusi kuasa suci Tuhan,
iaitu pelan halaman Rumah Yehuwa,
pelan bilik-bilik makan di sekelilingnya,
pelan tempat penyimpanan harta
rumah Tuhan yang benar,
dan pelan tempat penyimpanan
alat-alat yang telah disucikan.
Selain itu,
Daud memberikan arahan kepada
Salomo mengenai pembahagian
kumpulan para imam dan orang Lewi,
pekerjaan yang harus dilakukan oleh
mereka di Rumah Yehuwa,
dan semua perkakas yang digunakan
untuk tujuan ibadat di Rumah Yehuwa.
Daud memberikan petunjuk tentang berat emas
dan perak yang harus digunakan
untuk membuat semua perkakas
bagi tujuan ibadat;
berat bagi pelbagai jenis kaki pelita
emas dan pelita emas,
dan berat bagi pelbagai jenis kaki
pelita perak dan pelita perak;
berat emas bagi setiap meja
untuk roti berlapis,
dan berat perak bagi meja-meja perak;
berat emas tulen bagi garpu,
mangkuk, dan kendi,
dan berat bagi setiap
mangkuk emas yang kecil
serta berat bagi setiap
mangkuk perak yang kecil.
Daud juga menentukan berat emas murni
yang harus digunakan untuk membuat
mazbah tempat membakar kemenyan,
dan untuk membuat kerub-kerub
yang sayapnya terbentang sehingga
membayangi tabut perjanjian Yehuwa.
Daud berkata,
Yehuwa telah memberikan
pemahaman kepada beta.
Oleh itu,
beta tahu cara melaksanakan semua
perintah tentang kerja pembinaan ini,
yang telah beta tulis dengan bimbingan-Nya.
Selepas itu,
Daud berkata
kepada anaknya Salomo,
Hendaklah kamu berani dan teguh,
dan laksanakanlah tugasmu!
Janganlah takut ataupun gentar,
kerana Tuhan Yehuwa,
Tuhan ayahanda, akan menyertai kamu.
Dia tidak akan mengabaikan kamu
atau meninggalkan kamu.
Dia akan terus bersama kamu
sehingga kerja pembinaan
Rumah Yehuwa selesai.
Projek Salomo sangat besar!
Dia perlu membina tempat untuk ibadat sejati,
yang begitu “indah dan mengagumkan”
sehingga “kemasyhurannya
tersebar ke seluruh bumi.”
Daud tahu ada banyak cabaran
yang menantikan Salomo.
Salomo tidak berpengalaman
dalam kerja pembinaan.
Dia juga akan menghadapi serangan
daripada ahli keluarga sendiri
dan daripada orang di luar.
Maka Daud menasihati anaknya
agar taat dan setia kepada Yehuwa.
Dia menggesa Salomo untuk
‘jadi berani dan teguh,
dan laksanakan tugasnya.’
Sekiranya Salomo takut
dan berfikir bahawa
tugas itu terlalu susah,
dia mungkin menangguhkan
atau langsung tidak melakukan projek itu.
Yehuwa pasti murka jika hal itu berlaku.
Maka Daud menegaskan,
“Laksanakanlah tugasmu.”
Ya, melalui pengalaman sendiri,
Daud tahu bahawa keberanian dan keyakinan
pada Yehuwa mesti disertai perbuatan.
Mari kita baca kisah hidup Daud
ketika keberaniannya diuji.
Semasa membacanya, tanyalah diri,
“Adakah Daud orang yang suka berdalih,
teragak-agak,
atau menjadi tidak bermaya
semasa dilanda kesusahan?”
Fikirkan keadaannya selepas
Daud dilantik sebagai raja Israel.
Raja Saul masih berkuasa ketika itu,
tetapi sudah ditolak oleh Yehuwa
kerana keingkarannya.
Ikutilah kisah ini
di 1 Samuel 16:1-23.
1 Samuel 16
ayat 1-23.
Yehuwa berfirman kepada Samuel,
Berapa lamakah engkau
mahu bersedih kerana Saul,
sedangkan Aku sudah menolaknya sebagai
raja yang memerintah orang Israel?
Isilah sebuah tanduk dengan
minyak dan berangkatlah.
Aku akan mengutus engkau kepada Isai,
penduduk Betlehem itu,
kerana Aku telah memilih salah seorang
daripada anak lelakinya sebagai raja.
Tetapi Samuel berkata,
Bagaimanakah aku dapat berbuat demikian?
Jika Saul mendengar tentang hal ini,
dia akan membunuhku.
Yehuwa berfirman,
Bawalah seekor anak lembu
bersamamu dan katakanlah,
“Aku datang untuk mempersembahkan
korban kepada Yehuwa.”
Jemputlah Isai.
lalu Aku akan memberitahu engkau
apa yang harus dilakukan.
Engkau harus mengurapi orang yang
akan Aku tunjukkan kepadamu.
Samuel melakukan apa yang
difirmankan oleh Yehuwa.
Apabila dia tiba di Betlehem,
para pemimpin kota itu
gementar semasa bertemu dengannya.
Mereka bertanya,
Adakah kedatangan tuan
membawa kesejahteraan?
Samuel menjawab,
Ya, aku datang untuk mempersembahkan
korban kepada Yehuwa.
Sucikanlah diri kamu dan ikutlah aku.
Selepas Isai dan anak-anak
lelakinya menyucikan diri,
dia menjemput mereka ke upacara
mempersembahkan korban.
Apabila mereka tiba,
Samuel nampak Eliab lalu dia berfikir,
Sudah pasti dialah orang
yang dilantik oleh Yehuwa.
Namun Yehuwa berfirman kepada Samuel,
Janganlah perhatikan paras rupa
dan ketinggiannya
kerana bukan dia yang Aku pilih.
Pandangan Tuhan bukanlah
seperti pandangan manusia,
kerana manusia melihat rupa luaran
sedangkan Yehuwa
melihat hati orang.
Selepas itu, Isai memanggil Abinadab
lalu menyuruhnya menghadap Samuel.
Tetapi Samuel berkata,
Dia juga tidak dipilih oleh Yehuwa.
Kemudian Isai membawa
Shama tetapi Samuel berkata,
Dia pun tidak dipilih oleh Yehuwa.
Demikianlah Isai menyuruh ketujuh-tujuh
orang anak lelakinya menghadap Samuel.
Namun
Samuel berkata kepada Isai,
Tiada seorang pun antara mereka
yang dipilih oleh Yehuwa.
Akhirnya
Samuel bertanya kepada Isai,
Hanya inikah anak-anak lelakimu?
Isai menjawab,
Masih ada seorang lagi yang bongsu.
Dia sedang menggembala biri-biri.
Lalu Samuel berkata kepada Isai,
Suruhlah dia datang kerana kita tidak akan duduk
untuk makan selagi dia belum tiba.
Maka Isai menyuruh orang
untuk memanggil anak bongsunya.
Anaknya itu kacak
dan matanya menawan.
Kemudian Yehuwa berfirman,
Inilah orangnya!
Bangunlah dan urapilah dia.
Oleh itu, Samuel mengambil tanduk
yang berisi minyak
lalu mengurapinya
di hadapan abang-abangnya.
Sejak hari itu, kuasa suci Yehuwa
dicurahkan ke atas Daud.
Kemudian Samuel berangkat ke Rama.
Yehuwa tidak lagi mencurahkan
kuasa suci-Nya ke atas Saul,
dan Yehuwa membiarkan
fikiran Saul bercelaru
sehingga dia berasa terseksa.
Maka hamba-hamba Saul berkata kepadanya,
Tuanku,
Tuhan sudah membiarkan
fikiran tuanku bercelaru
sehingga tuanku berasa terseksa.
Jika tuanku setuju,
perintahkanlah hamba sekalian
untuk mencari seseorang
yang mahir bermain kecapi.
Setiap kali Tuhan membiarkan
fikiran tuanku bercelaru,
orang itu akan memainkan kecapi
supaya tuanku berasa lebih tenang.
Oleh itu, Saul berkata,
Carilah seseorang yang pandai bermain kecapi
dan bawalah dia ke sini.
Seorang hambanya berkata,
Hamba pernah melihat salah seorang anak Isai
bermain kecapi dengan mahir.
Dia seorang pahlawan yang gagah dan berani.
Lagipun dia kacak
dan pandai berkata-kata,
dan Yehuwa menyertainya.
Maka Saul menghantar utusan
kepada Isai lalu berkata,
Suruhlah anakmu Daud untuk
datang menghadap beta.
Kemudian Isai mengambil roti,
kirbat kulit berisi wain,
dan seekor anak kambing
lalu memuatkannya ke atas seekor keldai.
Dia menyuruh Daud
membawa semua itu kepada Saul.
Demikianlah Daud mula berkhidmat kepada Saul.
Saul semakin mengasihi Daud
dan menjadikan Daud pembawa senjatanya.
Saul mengirim pesan kepada Isai:
Benarkanlah Daud terus berkhidmat kepada
beta kerana beta suka akan Daud.
Setiap kali Tuhan membiarkan fikiran Saul
bercelaru sehingga dia berasa terseksa,
Daud mengambil kecapi lalu memainkannya.
Setelah itu,
Saul akan berasa lega,
dan fikirannya akan menjadi tenang semula.
Dapatkah anda lihat Daud yang masih muda,
abang-abangnya,
dan bapanya yang berdiri
di depan Nabi Samuel?
Kemudian Yehuwa memilih Daud sebagai raja
dan menyuruh Samuel mengurapinya.
Namun,
Saul masih bertakhta
dan diakui sebagai raja Israel.
Daud memang perlu berani ketika itu.
Fikirkan,
apakah reaksi Saul
apabila dia tahu bahawa Daud
telah diurapi sebagai raja?
Saul pasti ingin bunuh Daud.
Jadi bayangkan perasaan Daud
semasa dia dipanggil ke istana
untuk menjadi pembantu peribadi Saul.
Sudah tentu dia akan berasa risau.
Bagaimana pula dengan kita?
Kita mungkin risau kerana masalah keluarga,
kesihatan,
kewangan,
penganiayaan,
atau ketidaksempurnaan sendiri.
Tetapi jangan biar masalah itu
melumpuhkan kita secara rohani.
Pada masa sebegitu,
carilah bantuan Yehuwa
melalui doa,
Bible, dan sidang.
Ambillah langkah praktikal
untuk menangani masalah kita.
Biarpun masalah itu tidak hilang,
teruslah berusaha sedaya upaya
untuk melakukan kehendak Yehuwa,
bahkan semasa ditimpa malapetaka.
Itulah keberanian sejati!
Semasa Daud dipanggil menghadap Saul,
dia tidak gentar.
Daud berani dan teguh,
dan melaksanakan tugasnya!
Dia menerima tugas itu,
dan yakin bahawa Yehuwa akan
membantunya bertindak dengan bijak.
Hasilnya,
Raja Saul sangat suka akan Daud
dan menjadikan Daud
sebagai pembawa senjatanya.
Sila buka bab seterusnya di 1 Samuel 17:1-51.
Kita akan baca 1 Samuel
bab 17,
mulai ayat 1.
Inilah cerita menarik
tentang Daud
dengan Goliat.
Lihatlah bagaimana Daud
bertindak dengan bijak
dan menunjukkan keberanian.
Orang Filistin mengerahkan tentera
mereka untuk berperang.
Mereka berkumpul di Sokho,
di wilayah Yehuda,
dan berkhemah di Efes-damim
yang terletak di antara Sokho dan Azeka.
Saul dan tentera Israel pula berkumpul
lalu berkhemah di Lembah Ela
dan mereka mengatur barisan tentera
untuk menghadapi serangan orang Filistin.
Tentera Filistin berada di sebuah gunung
dan tentera Israel berada di gunung yang lain,
dan di antara mereka terdapat sebuah lembah.
Kemudian
seorang wira yang bernama
Goliat,
dari kota Gat,
keluar dari perkhemahan orang Filistin.
Tingginya kira-kira tiga meter.
Dia memakai topi tembaga
dan baju zirah tembaga yang bersisik.
Berat baju zirah itu ialah
kira-kira 57 kilogram.
Sebahagian kakinya dilindungi
oleh kepingan tembaga
dan dia menyangkutkan sebatang
lembing tembaga di bahunya.
Batang tombaknya diperbuat
daripada kayu sebesar kayu pada alat tenun
dan mata tombaknya diperbuat
daripada besi seberat kira-kira tujuh kilogram.
Pembawa perisainya berjalan di hadapannya.
Dia berdiri dan berteriak
kepada barisan tentera orang Israel,
Mengapakah kamu datang
untuk mengatur barisan tentera?
Akulah pahlawan Filistin yang terhandal
dan kamu hamba-hamba Saul.
Pilihlah seorang lelaki
daripada kalangan kamu
dan biarlah dia turun untuk melawan aku.
Jika dia dapat melawan aku
dan membunuh aku,
kami akan menjadi hamba-hamba kamu.
Tetapi
jika aku mengalahkannya
dan membunuhnya,
kamulah yang akan menjadi
hamba-hamba kami.
Kemudian Goliat berkata lagi,
Aku mencabar barisan tentera
orang Israel hari ini.
Biarlah orang yang kamu pilih melawan aku!
Apabila Saul dan semua orang Israel
mendengar kata-kata Goliat,
mereka sangat takut dan gementar.
Daud ialah anak Isai,
orang Efrata dari Betlehem di Yehuda.
Isai mempunyai lapan orang anak lelaki,
dan pada masa pemerintahan Saul,
Isai sudah tua.
Anak sulung Isai bernama Eliab,
yang kedua bernama Abinadab,
dan yang ketiga bernama Shama.
Mereka bertiga sudah mengikut
Saul pergi berperang.
Daud ialah anak bongsu
dan ketiga-tiga orang abangnya itu
sudah mengikut Saul.
Semasa Daud berkhidmat untuk Saul,
dia berulang-alik ke rumahnya
untuk menjaga biri-biri bapanya di Betlehem.
Sementara itu,
Goliat tampil setiap pagi dan petang
selama 40 hari
untuk mencabar orang Israel.
Pada suatu hari,
Isai berkata kepada anaknya Daud,
Ambillah sebuah kantung biji-bijian
yang sudah dipanggang
dan 10 ketul roti ini,
lalu bawanya dengan segera
kepada abang-abangmu di perkhemahan.
Bawalah juga 10 potongan keju
untuk ketua askar.
Selain itu,
tengoklah bagaimana
keadaan abang-abangmu.
Pada awal pagi,
Daud bangun dan menyuruh
orang lain menjaga biri-biri.
Kemudian dia berkemas dan berangkat
sebagaimana yang diperintahkan oleh Isai.
Apabila dia tiba di perkhemahan,
pasukan tentera sedang mara ke medan
pertempuran sambil berteriak dengan kuat.
Orang Israel dan orang Filistin
mengatur barisan tentera mereka
agar mereka saling berhadapan.
Dengan segera,
Daud meninggalkan
barang-barangnya dengan penjaga barang
lalu berlari ke medan pertempuran.
Apabila dia tiba di situ, dia bertanya
tentang keadaan abang-abangnya.
Ketika Daud sedang bercakap dengan mereka,
tampillah wira yang bernama Goliat,
orang Filistin dari Gat.
Dia keluar dari barisan tentera orang Filistin
lalu mengucapkan kata-kata
yang sama seperti sebelumnya,
dan Daud mendengar apa yang dikatakannya.
Apabila semua orang Israel melihat Goliat,
mereka lari ketakutan.
Orang Israel berkata,
Lihatlah orang ini!
Dia datang untuk mencabar orang Israel.
Raja akan memberikan banyak kekayaan
kepada orang yang membunuhnya.
Raja juga akan memberikan
puterinya kepada orang itu
dan keluarga bapa orang itu
dikecualikan daripada cukai.
Daud bertanya kepada orang
yang berdiri dekatnya,
Apakah yang akan diberikan kepada lelaki
yang membunuh orang Filistin itu
dan yang membebaskan Israel?
Siapakah orang Filistin itu yang berani
mencabar barisan tentera Tuhan yang hidup?
Maka mereka memberitahunya
perkara yang sama lalu berkata,
Itulah ganjaran yang akan diberikan.
Apabila Eliab, abang sulung Daud,
mendengar Daud bercakap dengan mereka,
dia marah dengan Daud dan berkata,
Mengapa kamu datang ke sini?
Siapa yang kamu suruh untuk menjaga biri-birimu
yang ada di padang belantara?
Aku tahu kamu berlagak pandai
dan berniat jahat.
Kamu datang ke sini hanya
untuk melihat pertempuran.
Lalu Daud berkata,
Apa salahku?
Aku bertanya saja!
Kemudian Daud berpaling daripadanya
lalu menanyakan soalan
yang sama kepada orang lain.
Mereka pun memberikan
jawapan yang sama.
Beberapa orang terdengar kata-kata Daud
lalu melaporkannya kepada Saul.
Maka Saul menyuruh Daud menghadapnya.
Daud berkata kepada Saul,
Janganlah sesiapa pun takut
kerana orang Filistin itu.
Hamba akan pergi melawannya.
Tetapi Saul berkata kepada Daud,
Kamu tidak dapat melawan orang Filistin itu
kerana kamu masih muda
sedangkan dia sudah menjadi
askar sejak masa mudanya.
Kemudian Daud berkata kepada Saul,
Semasa hamba menggembala ternakan,
seekor singa datang
lalu menerkam seekor biri-biri.
Pernah juga seekor beruang
melakukan hal yang sama.
Hamba kejarnya dan serangnya
lalu menyelamatkan biri-biri itu.
Apabila binatang itu melawan,
hamba memegang lehernya
lalu membunuhnya.
Hamba sudah bunuh singa
dan beruang itu.
Demikianlah yang akan hamba
lakukan terhadap orang Filistin itu,
yang mencabar barisan
tentera Tuhan yang hidup.
Kemudian Daud berkata lagi,
Yehuwa telah menyelamatkan hamba
daripada cengkaman singa dan beruang.
Dia juga akan menyelamatkan hamba
daripada tangan orang Filistin itu.
Maka Saul berkata kepada Daud,
Pergilah
dan semoga Yehuwa menyertaimu.
Saul pun mengenakan
baju perangnya pada Daud.
Dia memakaikan topi tembaga
dan mengenakan baju zirah pada Daud.
Selepas itu,
Daud mengikat sebilah pedang
dan mencuba untuk berjalan,
tetapi dia tidak dapat kerana dia
tidak biasa memakai pakaian itu.
Daud berkata,
Hamba tidak dapat berjalan
dengan memakai pakaian ini.
Maka Daud menanggalkan pakaian itu.
Kemudian
dia membawa tongkatnya
dan memilih lima biji batu
yang licin dari sungai
lalu meletakkan batu-batu itu
ke dalam kantungnya.
Dia pergi menghadap Goliat
dengan bersenjatakan ali-ali.
Kemudian
Goliat maju menghampiri Daud
dan pembawa perisainya
berjalan di hadapannya.
Apabila Goliat nampak Daud,
dia mengejek dan mentertawakannya
kerana Daud masih muda dan kacak.
Maka Goliat berkata kepada Daud,
Buat apa kamu membawa kayu
untuk melawan aku?
Adakah kamu fikir aku ini anjing?
Lalu
demi nama dewa-dewanya,
Goliat mengutuk Daud.
Goliat berkata kepada Daud,
Datanglah kepadaku
dan aku akan memberikan dagingmu
kepada burung dan
binatang-binatang untuk dimakan.
Daud berkata kepada Goliat,
Kamu datang melawan aku
dengan pedang, tombak, dan lembing.
Tetapi aku datang melawanmu
demi nama Yehuwa,
ketua angkatan syurga,
Tuhan tentera orang Israel,
yang telah kamu hina.
Pada hari ini juga,
Yehuwa akan menyerahkan
kamu ke dalam tanganku.
Aku akan membunuhmu
dan memenggal kepalamu.
Aku akan memberikan bangkai tentera Filistin
kepada burung dan binatang liar.
Dengan itu, semua orang
akan tahu bahawa bangsa Israel
mempunyai Tuhan yang benar.
Semua orang di sini
akan tahu bahawa Yehuwa tidak
memerlukan pedang ataupun tombak
untuk menyelamatkan umat-Nya.
Hanya Yehuwa yang dapat
memberi kami kemenangan,
dan Dia akan menyerahkan
kamu semua ke dalam tangan kami.
Kemudian
Goliat mara dan
semakin mendekati Daud,
tetapi Daud berlari dengan cepat
ke barisan pertempuran untuk menghadapinya.
Daud memasukkan tangannya
ke dalam kantung
dan mengambil sebiji batu
lalu menghumban batu itu ke dahi Goliat.
Batu itu terbenam ke dalam dahi Goliat
sehingga dia rebah tertiarap ke tanah.
Meskipun Daud tidak mempunyai pedang,
dia mengalahkan
dan membunuh orang Filistin itu
dengan hanya bersenjatakan
ali-ali dan sebiji batu.
Daud terus berlari ke sisi Goliat.
Dia menghunus pedang Goliat
lalu memenggal kepala Goliat untuk
memastikan bahawa dia sudah mati.
Ketika orang Filistin nampak bahawa
pahlawan mereka sudah mati,
mereka melarikan diri.
Kisah ini bukan sahaja mengajar
kita tentang keberanian,
tetapi juga tentang tindakan
yang berdasarkan kebijaksanaan dan iman.
Daud sedang bekerja semasa disuruh membawa
bekalan kepada abang-abangnya di medan perang.
Jadi, dia perlu buat dua tugas
pada masa yang sama:
Menjaga kawanan keluarga,
dan menghantar barang
kepada abang-abangnya.
Bagaimana?
Daud seorang yang bijak
dan yang boleh dipercayai.
Dia ambil langkah yang praktikal.
Bible kata,
“Pada awal pagi,
Daud bangun dan menyuruh
orang lain menjaga biri-biri.
Kemudian dia berkemas dan berangkat,
seperti yang diperintahkan oleh Isai.”
Tidak lama kemudian,
dia menghadapi situasi yang menakutkan.
Dia nampak askar Israel menggigil ketakutan
dan hilang semangat
kerana saiz Goliat yang besar dan cemuhannya.
Reaksi Daud menunjukkan keberaniannya.
Dia bertanya mengapa tiada orang membunuh
lelaki sombong yang mengejek Yehuwa itu.
Tetapi abangnya Eliab
memarahinya di depan orang lain.
Dia mempersoalkan niat Daud,
melabelnya sebagai
orang yang berlagak pandai,
dan menuduhnya mengabaikan
kawanan bapanya.
Semasa Daud menawarkan diri
untuk melawan Goliat,
Raja Saul tidak membenarkannya,
dan berkata bahawa Daud
tidak mungkin akan menang
kerana dia masih muda.
Apakah yang dilakukan Daud
dalam keadaan sebegini?
Dia tunjukkan keberanian,
dan itulah yang memberinya kekuatan
rohani dan emosi untuk bertindak.
Dia ingat bagaimana Yehuwa
pernah menyelamatkannya dahulu
daripada beruang dan daripada singa,
binatang yang lebih kuat
dan laju daripada manusia.
Yehuwa bukan sahaja selamatkan Daud,
malah bantunya membunuh
binatang buas itu.
Maka Daud dapat berkata dengan yakin,
“Yehuwa
telah menyelamatkan hamba
daripada cengkaman singa dan beruang.
Dia juga akan menyelamatkan hamba
daripada tangan orang Filistin itu.”
Jadi, semasa kita tawar hati atau murung,
renungkanlah bagaimana Yehuwa
pernah menyelamatkan kita
daripada masalah yang
nampaknya mustahil diatasi.
Daud berani dan melaksanakan tugasnya.
Dia juga membuat keputusan yang praktikal.
Contohnya,
semasa Saul memberi Daud baju perangnya,
Daud cuba memakainya,
tetapi dia mendapati topi tembaga,
baju zirah,
dan pedang Saul
hanya akan menyusahkan pergerakannya.
Jadi,
apakah yang dilakukan Daud?
Dia buang
semua
beban yang menyusahkan itu.
Bagaimana pula dengan kita?
Hidup kita
mungkin sesak dengan harta milik
atau kegiatan yang tidak penting
sehingga menyusahkan kegiatan rohani kita.
Jika begitu,
laksanakanlah tugasmu!
Periksalah harta milik dan tabiat sendiri,
dan buanglah apa yang menyusahkan.
Sederhanakanlah kehidupan kita,
supaya kita lebih mudah bertumpu
kepada khidmat Yehuwa.
Seperti kita,
Daud tidak sempurna.
Tetapi dia dapat jadi sahabat Yehuwa
kerana dia berani bertindak.
Maka
pada akhir hayatnya,
Daud dapat memberitahu
anaknya dengan yakin,
“Hendaklah kamu berani dan teguh,
dan laksanakanlah tugasmu!”