JW subtitle extractor

Episod 5: “Orang Ramai Sangat Kagum dengan Cara Dia Mengajar”

Video Other languages Share text Share link Show times

Yesus turun dari gunung bersama mereka
lalu berdiri di tempat yang rata.
Di situ ada ramai muridnya
dan ramai orang yang datang
dari seluruh Yudea, Yerusalem,
dan juga kawasan Tirus dan Sidon
yang terletak di tepi laut.
Mereka datang untuk mendengarnya
dan ingin penyakit mereka disembuhkan.
Rabbi, tolonglah!
Bahkan orang yang diganggu roh jahat juga disembuhkan.
Semua orang ingin menyentuh Yesus,
kerana kuasa keluar daripadanya
dan menyembuhkan mereka semua.
Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka
kerana Kerajaan di syurga milik mereka.
Berbahagialah orang yang berdukacita
kerana hati mereka akan dilegakan.
Berbahagialah orang yang lemah lembut,
kerana mereka akan mewarisi bumi.
Berbahagialah orang yang lapar
dan haus akan keadilan,
kerana mereka akan dipuaskan.
Berbahagialah orang yang berbelas kasihan.
Mereka akan dapat belas kasihan.
Berbahagialah orang yang berhati murni.
Mereka akan melihat Tuhan.
Berbahagialah orang yang berusaha mewujudkan kedamaian
kerana mereka akan disebut anak Tuhan.
Berbahagialah orang yang dianiaya kerana berbuat benar,
kerana Kerajaan di syurga milik mereka.
Berbahagialah kamu
apabila orang hina, menganiaya,
dan kata segala perkara yang keji
untuk memfitnah kamu kerana kamu pengikutku.
Bergembiralah dan melimpah dengan sukacita,
kerana ganjaran kamu besar di syurga.
Nabi-nabi sebelum kamu juga dianiaya
dalam cara yang sama.
Malanglah kamu yang kaya,
kerana kamu telah kecap semua nikmat hidup.
Malanglah kamu yang kenyang sekarang,
kerana kamu akan lapar.
Malanglah kamu yang sedang ketawa.
Kamu akan merintih dan menangis.
Malanglah kamu jika semua orang puji kamu,
kerana nenek moyang mereka juga memuji nabi palsu.
Kamu ialah garam dunia.
Jika garam hilang rasa masinnya,
dapatkah garam itu jadi masin semula?
Garam itu tidak berguna,
selain dibuang keluar dan dipijak orang.
Kamu ialah cahaya dunia.
Sebuah kota yang terletak di atas gunung
tidak dapat disembunyikan.
Orang letak pelita bukannya di bawah bakul,
tapi di atas kaki pelita
supaya menerangi semua orang di dalam rumah.
Demikian juga,
biarlah cahaya kamu bersinar di hadapan orang lain
supaya mereka melihat perbuatan baik kamu
dan memuji Bapa kamu yang di syurga.
Jangan fikir aku datang untuk hapuskan Hukum atau Ajaran Nabi.
Aku datang bukan untuk hapuskannya
tapi aku datang supaya semua ajaran itu berlaku.
Dengan sungguh-sungguh aku berkata:
Biarpun langit dan bumi lenyap,
satu huruf terkecil
atau satu titik pun dalam Hukum tidak akan lenyap
sehingga semua yang tertulis berlaku.
Jika sesiapa melanggar
salah satu perintah yang paling kecil
dan ajar orang buat begitu,
dia tidak layak memasuki Kerajaan di syurga.
Sesiapa yang mentaati perintah itu
dan mengajarnya kepada orang lain
layak masuk Kerajaan di syurga.
Aku berkata kepadamu:
Jika kelakuan kamu tidak lebih baik
daripada kelakuan jurutulis hukum dan orang Farisi,
kamu pasti tidak akan masuk Kerajaan di syurga.
Kamu sudah dengar apa yang dikatakan
kepada orang dahulukala:
“Jangan membunuh.”
Sesiapa yang membunuh akan diadili di mahkamah.
Tetapi aku berkata
sesiapa yang terus marah terhadap saudaranya
akan diadili di mahkamah.
Sesiapa yang memaki hamun saudaranya
akan dihadapkan ke Mahkamah Agung,
dan sesiapa yang kata,
“Kau orang bodoh yang tidak berguna!”
akan dibuang ke dalam api Gehena.
Oleh itu,
semasa membawa pemberianmu ke mazbah,
dan kamu teringat
saudaramu tidak senang hati terhadapmu,
tinggalkanlah pemberian itu di hadapan mazbah.
Pergi dan berdamailah dahulu dengannya,
barulah kembali dan mempersembahkan pemberianmu.
Jika seseorang hendak mendakwa kamu,
cepatlah selesaikan masalah kamu berdua,
supaya dia tidak serahkan kamu kepada hakim,
lalu hakim serahkan kamu kepada pengawal
untuk dipenjarakan.
Kamu akan terus dipenjarakan
selagi kamu tidak membayar hutang kamu
sampai duit syiling kecil yang terakhir.
Kamu sudah dengar ajaran ini:
“Jangan berzina.”
Tapi aku berkata
sesiapa yang terus memandang seorang wanita
dengan perasaan berahi
dia sudah berzina dengannya dalam hati.
Sekiranya mata kanan kamu buat kamu tersandung,
cungkillah dan buanglah mata itu.
Lebih baik kamu hilang salah satu anggota tubuh kamu
daripada seluruh tubuh kamu dibuang ke dalam Gehena.
Jika tangan kanan kamu buat kamu tersandung,
potonglah dan buanglah tangan itu.
Lebih baik kamu hilang satu anggota tubuhmu
daripada seluruh tubuh kamu dilemparkan dalam Gehena.
Dan ada ajaran yang berbunyi:
“Sesiapa yang menceraikan isterinya
harus memberinya surat cerai.”
Namun aku kata
sesiapa yang menceraikan isterinya
padahal isterinya tidak melakukan
perbuatan seks yang tidak bermoral
mungkin menyebabkan isterinya berzina
jika isterinya berkahwin lagi.
Sesiapa yang berkahwin dengan wanita
yang diceraikan itu juga berzina.
Kamu sudah dengar apa yang dikatakan
kepada orang dahulukala:
“Jangan berjanji tanpa melakukannya.
Lakukanlah apa yang telah
kamu ikrarkan kepada Yehuwa.”
Tapi aku berkata kepada kamu:
Jangan sesekali bersumpah
sama ada demi syurga,
kerana itu takhta Tuhan,
atau demi bumi, iaitu alas kaki-Nya,
atau demi Yerusalem.
Itu ialah kota Raja yang agung.
Jangan bersumpah demi kepalamu,
kerana kamu tidak dapat mengubah
sehelai rambut pun menjadi hitam atau putih.
Katakanlah “Ya” semasa kamu bermaksud ya,
dan “Tidak” jika tidak.
Kata-kata yang selebihnya berasal dari Si Jahat.
Kamu sudah dengar ajaran ini:
“Mata ganti mata dan gigi ganti gigi.”
Namun aku berkata:
Jangan melawan orang yang jahat.
Jika seseorang tampar pipi kananmu,
biarlah dia tampar pipi kirimu juga.
Jika seseorang ingin mendakwa kamu di mahkamah
dan menuntut jubah dalam kamu,
biarlah dia ambil jubah luar kamu juga.
Jika seorang penguasa mewajibkan kamu
mengangkat barangnya sejauh satu kilometer,
angkatlah sejauh dua kilometer.
Jangan tolak permintaan orang yang ingin meminjam
atau meminta sesuatu daripadamu.
Kamu sudah dengar ajaran ini:
“Kasihilah orang lain
dan benci musuhmu.”
Tapi aku berkata kepadamu:
Teruslah mengasihi musuhmu
dan berdoalah bagi orang yang aniaya kamu.
Barulah kamu menjadi
anak-anak Bapa kamu yang di syurga,
kerana Dia membuat matahari terbit
dan hujan turun untuk orang baik
dan orang yang jahat.
Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu,
apakah ganjaran kamu?
Bukankah pemungut cukai juga buat begitu?
Jika kamu hanya buat baik
kepada orang yang buat baik kepadamu,
patutkah kamu dipuji?
Orang berdosa pun buat begitu.
Jika kamu bersapa dengan saudara kamu saja,
apakah perkara luar biasa yang kamu lakukan?
Bukankah orang daripada bangsa lain pun buat begitu?
Kalau kamu beri pinjaman
kepada orang dan harapkan dia membayarnya,
patutkah kamu dipuji?
Orang berdosa pun meminjam kepada orang berdosa
dan harapkan pinjaman itu dikembalikan.
Sebaliknya, teruslah mengasihi musuh kamu.
Buatlah apa yang baik
dan berilah pinjaman tanpa mengharapkan
sebarang balasan.
Kamu akan mendapat ganjaran yang besar
dan menjadi anak-anak Tuhan Yang Maha Tinggi,
kerana Dia baik hati
bahkan terhadap orang jahat
dan yang tidak tahu bersyukur.
Oleh itu, kamu harus sempurna
sebagaimana Bapa kamu yang di syurga sempurna.
Ingatlah, jika kamu berbuat baik di hadapan orang
sekadar untuk dilihat,
kamu tidak akan terima ganjaran
daripada Bapa kamu di syurga.
Semasa kamu buat kebajikan,
janganlah kamu meniup trompet
untuk menarik perhatian
seperti orang yang bermuka dua
di rumah ibadat dan di jalan.
Mereka buat begitu supaya dipuji orang.
Sesungguhnya aku berkata kepada kamu:
Mereka sudah dapat semua ganjaran mereka.
Sebaliknya, semasa kamu buat kebajikan,
jangan biar tangan kiri tahu
apa yang tangan kanan lakukan,
supaya apa yang kamu buat tidak diketahui orang.
Dengan itu,
Bapamu yang melihat dari tempat rahsia-Nya
akan memberkati kamu.
Semasa kamu berdoa,
janganlah jadi seperti orang yang bermuka dua
yang suka berdoa sambil
berdiri di rumah ibadat dan di simpang jalan utama
agar dilihat orang.
Sesungguhnya aku berkata kepada kamu:
Mereka sudah dapat semua ganjaran mereka.
Sebaliknya, semasa kamu berdoa,
masuklah bilik sendiri
tutuplah pintu,
dan berdoalah kepada Bapamu
yang berada di tempat rahsia-Nya.
Bapamu yang melihat dari tempat rahsia-Nya
akan berkati kamu.
Semasa kamu berdoa,
jangan asyik ulang kata-kata yang sama
seperti bangsa lain.
Mereka sangka Tuhan akan mendengar doa mereka
kerana doa mereka panjang.
Jangan jadi seperti mereka.
Bapa kamu sudah tahu apa yang kamu perlukan
bahkan sebelum kamu minta.
Beginilah caranya kamu harus berdoa:
Bapa kami yang di syurga,
semoga nama-Mu disucikan.
Datanglah kerajaan-Mu.
Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi
seperti di syurga.
Berilah kami makanan yang kami perlu hari ini.
Ampuni dosa kami
sebagaimana kami mengampuni orang lain.
Jangan biar kami terjerat oleh godaan,
tapi selamatkanlah kami daripada Si Jahat.
Jika kamu ampunkan kesalahan orang,
Bapa di syurga juga akan mengampuni kamu.
Jika kamu tidak mengampuni orang lain,
Bapa kamu juga tidak akan mengampuni kamu.
Semasa berpuasa,
jangan bersedih seperti orang yang bermuka dua.
Mereka abaikan penampilan diri
supaya orang lain tahu mereka sedang berpuasa.
Sesungguhnya aku kata kepadamu:
Mereka sudah mendapat semua ganjaran mereka.
Sebaliknya, semasa kamu berpuasa,
sapulah minyak pada kepalamu.
Basuhlah mukamu,
kerana kamu berpuasa bukan untuk dilihat orang,
tapi untuk dilihat Bapamu
yang berada di tempat rahsia-Nya.
Bapamu yang melihat dari tempat rahsia-Nya
akan berkati kamu.
Jangan lagi kumpul harta di bumi,
kerana di bumi
ada gegat dan karat yang dapat merosakkannya,
dan pencuri yang datang untuk mencurinya.
Sebaliknya, kumpulkan harta di syurga
kerana di situ tiada gegat atau karat
yang akan merosakkannya,
dan tiada pencuri yang datang untuk mencurinya.
Di mana harta kamu, di situ juga hati kamu.
Pelita tubuhmu ialah mata.
Jika matamu bertumpu kepada satu perkara saja,
seluruh tubuhmu akan terang.
Tapi tubuhmu akan jadi gelap jika matamu jahat.
Jika cahaya dalam dirimu ialah kegelapan,
alangkah pekatnya kegelapan itu!
Tiada orang boleh jadi hamba bagi dua tuan.
Dia akan benci yang seorang
dan mengasihi yang seorang lagi,
atau setia kepada seorang
dan menghina yang seorang lagi.
Kamu tidak dapat jadi hamba Tuhan
dan hamba kekayaan pada masa yang sama.
Aku berkata kepada kamu:
Jangan khuatir lagi tentang hidupmu,
tentang apa yang kamu makan dan minum,
atau apa yang kamu akan pakai.
Bukankah nyawa dan tubuh
lebih berharga daripada pakaian ataupun makanan?
Perhatikanlah burung di langit
yang tidak menyemai benih,
menuai, atau mengumpulkan hasil ke dalam jelapang.
Namun, Bapa kamu yang di syurga
masih memberi burung makanan.
Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung?
Siapakah yang dapat panjangkan hayat
walaupun sedikit dengan berasa khuatir?
Mengapakah kamu khuatir tentang pakaian?
Perhatikanlah bunga-bunga yang tumbuh di padang
yang tidak bekerja, atau menenun pakaian.
Tapi aku berkata kepadamu:
Raja Salomo dengan segala kemuliaannya pun
tidak berpakaian seindah salah satu daripada bunga itu.
Mengapakah iman kamu begitu lemah?
Jika tumbuhan di padang yang ada hari ini
lalu dibuang ke dalam api esok pun
diberi pakaian yang indah oleh Tuhan,
apatah lagi dengan kamu?
Sudah pasti Dia akan beri kamu pakaian yang diperlukan.
Jadi jangan khuatir dan kata,
“Apa yang akan kami makan,
atau minum, atau pakai?”
Semua perkara ini asyik dikejar oleh bangsa-bangsa lain.
Bapa kamu yang di syurga tahu
kamu perlukan semua perkara ini.
Hendaklah kamu sentiasa
mengutamakan Kerajaan Tuhan
dan apa yang benar di mata-Nya,
dan semua perkara itu akan diberikan kepadamu.
Janganlah khuatir tentang hari esok.
Hari esok akan ada kekhuatirannya sendiri.
Cukuplah masalah untuk hari ini.
Jangan lagi hakimi orang
supaya kamu tidak dihakimi,
kerana kamu akan dihakimi
sebagaimana kamu menghakimi orang.
Sukatan yang kamu guna untuk orang,
juga akan digunakan untuk kamu.
Mengapa kamu lihat jerami di dalam mata saudaramu,
tapi tidak lihat kayu balak dalam matamu?
Bagaimana kamu dapat kata kepada saudaramu,
“Biarlah aku keluarkan jerami dari matamu,”
sedangkan ada kayu balak dalam matamu sendiri?
Hai orang yang bermuka dua,
keluarkanlah dulu kayu balak dari matamu sendiri.
Barulah kamu dapat lihat dengan jelas
bagaimana untuk keluarkan jerami dari mata saudaramu.
Amalkanlah tabiat memberi
dan orang juga akan memberi kepadamu.
Dengan murah hati,
mereka akan bagi pemberian yang dipadatkan
dan digoncang sehingga berlimpah dalam lipatan jubahmu.
Sukatan yang kamu guna untuk orang,
juga akan digunakan untuk kamu.
Jangan beri apa yang suci kepada anjing
dan jangan beri mutiara kepada babi,
kerana babi hanya akan pijak mutiara itu
lalu serang kamu.
Teruslah meminta, dan kamu akan terima.
Teruslah mencari, dan kamu akan temuinya.
Teruslah mengetuk, dan pintu akan dibuka bagimu.
Orang yang terus meminta akan terima.
Setiap orang yang terus mencari akan temuinya,
dan pintu pasti akan dibuka
bagi orang yang terus mengetuk.
Siapakah akan memberi batu
apabila anaknya meminta roti daripadanya,
atau beri ular kepada anaknya
apabila dia minta ikan?
Jika kamu yang jahat pun
tahu beri apa yang baik kepada anak-anak kamu,
apatah lagi Bapa kamu yang di syurga!
Sudah pasti Dia akan beri apa yang baik
pada mereka yang meminta daripada-Nya.
Semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu,
kamu mesti lakukannya untuk mereka juga.
Sebenarnya, inilah yang dimaksudkan
dalam Hukum dan Ajaran Para Nabi.
Masuklah melalui pintu yang sempit,
kerana pintu yang lebar
dan jalan yang luas menuju kebinasaan.
Ramai orang melalui jalan itu.
Tapi pintu yang sempit dan jalan yang susah
menuju kehidupan,
dan hanya sedikit orang menjumpai jalan itu.
Berwaspadalah terhadap nabi-nabi palsu
yang datang bertopengkan biri-biri.
Sebenarnya mereka ialah serigala yang buas.
Kamu akan kenal mereka melalui perbuatan mereka.
Tumbuhan berduri tidak akan hasilkan
buah anggur atau buah ara, bukan?
Demikian juga, setiap pokok yang baik
akan menghasilkan buah yang baik,
tapi setiap pokok yang buruk
akan hasilkan buah yang buruk.
Pokok yang baik tidak dapat
hasilkan buah buruk,
dan pokok buruk tidak dapat hasilkan buah yang baik.
Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik
akan ditebang lalu dibuang ke dalam api.
Jadi, kamu akan kenal mereka melalui perbuatan mereka.
Bukan semua orang yang kata kepadaku,
“Tuan, Tuan,” akan masuk dalam Kerajaan di syurga.
Hanya mereka yang melakukan kehendak Bapaku
akan memasukinya.
Pada hari itu, ramai orang akan berkata kepadaku,
“Tuan, Tuan, bukankah kami bernubuat atas namamu,
usir roh-roh jahat atas namamu,
dan buat banyak mukjizat atas namamu?”
Tapi aku akan menjawab,
“Aku tidak kenal kamu!
Pergilah dari sini, hai orang yang melanggar hukum!”
Oleh itu,
setiap orang yang dengar kata-kataku dan melakukannya
adalah seperti orang bijaksana
yang membina rumahnya di atas batu.
Hujan lebat turun, banjir melanda,
dan angin kencang menimpa rumah itu,
tapi rumah itu tidak roboh
kerana dibina di atas batu.
Namun, setiap orang yang dengar kata-kataku
tapi tidak melakukannya
akan jadi seperti orang bodoh
yang membina rumahnya di atas pasir.
Hujan lebat turun, banjir melanda,
dan angin kencang menimpa rumah itu,
lalu rumah itu roboh.
Alangkah dahsyatnya keadaan rumah itu!
Setelah Yesus mengatakan perkara-perkara ini,
orang ramai sangat kagum
dengan cara dia mengajar.
Hal ini kerana dia mengajar mereka
sebagai seorang yang berwibawa
dan bukan seperti jurutulis hukum mereka.