JW subtitle extractor

“Yehuwa Telah Menyebabkan Mereka Bersukacita”

Video Other languages Share text Share link Show times

Berkhidmatlah kepada Yehuwa dengan gembira,
kata Mazmur 100:2.
Ya, Yehuwa ingin kita bersukacita kerana Yehuwa beri kita kehidupan yang penuh sukacita.
Dia beri kita Bible untuk mengajar kita cara menikmati hidup dan Dia juga memberkati kita dengan pengalaman yang menggembirakan.
Ya, Yehuwa ialah Tuhan yang memberi sukacita.
Tetapi, Syaitan tidak mahu kita menyembah Yehuwa dengan bersukacita. Mengapa?
Kerana dia tahu bahawa sukacita bantu kita untuk terus menginjil dan mengajar orang lain tentang Bible.
Jadi dia mahu merampas sukacita kita melalui tentangan kerajaan, atau tekanan daripada keluarga, dan orang di sekeliling kita.
Syaitan juga mahu kita kurangkan masa untuk hal-hal rohani dan mengejar kebendaan.
Dia mahu kita fikir jika kita memiliki harta benda yang banyak,
ini dapat beri kita sukacita yang berkekalan.
Fikiran ini memang salah.
Kita sudah tahu muslihat Syaitan ini.
Semasa kita baca buku Ezra, Hagai, dan Zakharia,
fikirkan bagaimana kita dapat berkhidmat kepada Yehuwa dengan gembira hari ini.
Perhatikan apa yang buat umat Tuhan pada zaman itu gembira
dan apa yang merampas sukacita mereka.
Fikirkan juga mengapa dan bagaimana kita dapat meraih sukacita
daripada Yehuwa biarpun menghadapi masalah.
Ezra ialah seorang imam dan jurutulis Hukum Musa. Dia juga menulis buku Ezra dalam Bible.
Buku ini ialah sambungan kepada buku 2 Tawarikh yang mungkin juga ditulis oleh Ezra.
Pada 537 SM, ramai orang Yahudi sedang bersedia untuk kembali ke Yehuda
setelah ditawan selama 70 tahun di Babilon.
Oleh sebab pengalaman yang pahit ini, mereka akhirnya bertaubat dan tidak lagi menyembah berhala.
Sekarang inilah masanya untuk memulihkan ibadat sejati di kota Yerusalem.
Catatan buku ini bermula dengan zaman pemerintahan Raja Kores dari Persia.
Sila buka Bible anda ke Ezra 1:1-6 dan ikuti pembacaan ini.
Pada tahun pertama pemerintahan Raja Kores dari Persia,
Yehuwa memastikan apa yang difirmankan oleh-Nya menjadi kenyataan.
Yehuwa menggerakkan hati Raja Kores untuk mengeluarkan satu perintah.
Perintah itu berbunyi:
Inilah kata-kata Raja Kores dari Persia:
Yehuwa telah menyerahkan semua kerajaan di bumi kepada beta.
Dia juga memberikan tugas kepada beta untuk membina sebuah rumah untuk-Nya di Yerusalem.
Siapakah dalam kalangan kamu yang merupakan umat-Nya? Biarlah orang itu pulang ke Yerusalem, dan semoga Tuhannya menyertainya.
Binalah semula Rumah Yehuwa, yang terletak di Yerusalem.
Sememangnya Dia ialah Tuhan yang benar.
Sesiapa sahaja yang pulang hendaklah dibantu oleh jiran-jirannya.
Jiran-jirannya haruslah memberinya perak, emas, harta benda, ternakan, dan juga sumbangan sukarela untuk rumah Tuhan yang benar di Yerusalem.
Selepas itu, ketua-ketua puak Yehuda dan Benyamin, para imam, dan orang Lewi,
bersedia untuk pergi membina semula Rumah Yehuwa di Yerusalem kerana hati mereka telah digerakkan oleh Tuhan yang benar.
Semua jiran mereka membantu dengan memberikan perkakas-perkakas perak dan emas,
harta benda, ternakan, barang-barang berharga, dan sumbangan sukarela.
Bayangkanlah, Yehuwa membenarkan orang Yahudi kembali ke Yehuda
untuk membina semula Rumah Tuhan.
Banyak orang Yahudi yang menerima tugasan ini dengan sukacita.
Mereka yang tidak dapat kembali pula memberikan sumbangan.
Barangkali pada sekitar bulan April tahun 537 SM, hampir 50,000 orang Israel meninggalkan Babilon.
Mereka dipimpin oleh Imam Agung Yeshua, atau Yosua,
dan gabenor yang dilantik oleh Raja Kores, iaitu Zerubabel.
Kira-kira empat bulan kemudian, mereka tiba di Yehuda dengan penuh sukacita.
Bagaimanakah mereka mengekalkan sukacita itu? Mari kita lihat jawapannya di Ezra 3:1-6.
Pada bulan ketujuh, apabila orang Israel sudah tinggal di kota masing-masing,
mereka berkumpul di Yerusalem dengan satu matlamat.
Yeshua anak Yehozadak, imam-imam yang lain, Zerubabel anak Sealtiel, dan saudara-saudaranya mula membina semula mazbah Tuhan.
Dengan demikian, mereka dapat mempersembahkan korban bakar di atas mazbah itu,
selaras dengan Hukum Musa.
Biarpun mereka takut terhadap penduduk di negeri-negeri jiran,
mereka masih mendirikan mazbah itu di tapak asalnya.
Setelah itu, mereka mula mempersembahkan korban bakar
kepada Yehuwa di atas mazbah itu pada waktu pagi dan petang.
Mereka juga menyambut Perayaan Pondok Daun, dan setiap hari, mereka mempersembahkan korban bakar.
Mereka terus mempersembahkan korban bakar harian, dan korban untuk perayaan bulan baharu dan semua perayaan suci untuk Yehuwa.
Selain itu, mereka mempersembahkan sumbangan sukarela kepada Yehuwa.
Mereka mula mempersembahkan korban bakar kepada Yehuwa sejak hari pertama bulan ketujuh, meskipun asas Rumah Yehuwa belum dibina.
Perhatikan bahawa orang Yahudi kembali menyembah Yehuwa,
biarpun mereka takut terhadap penduduk di negeri jiran.
Keberanian mereka membawa sukacita tepat seperti yang dikatakan Musa.
Apabila dia menyuruh mereka menyambut Perayaan Pondok Daun, dia berkata,
Kamu harus bersukacita.
Pada tahun berikutnya, mereka meletakkan asas Rumah Tuhan.
Mari kita baca tentangnya di Ezra 3:10-13.
Setelah pekerja-pekerja selesai meletakkan asas Rumah Yehuwa,
para imam memakai jubah rasmi dan membawa trompet.
Orang Lewi daripada keturunan Asaf pula mengambil simbal.
Mereka semua memuji Yehuwa, seperti yang telah diperintahkan oleh Daud.
Mereka mula bernyanyi untuk memuji dan mengucapkan syukur kepada Yehuwa. Mereka bernyanyi,
Kerana Dia baik, dan kasih setia-Nya kekal abadi.
Kemudian semua orang memuji Yehuwa dengan suara yang kuat kerana asas Rumah Yehuwa selesai dibina.
Ramai imam, orang Lewi, dan ketua puak menangis dengan kuat
apabila mereka nampak asas rumah itu dibina semula.
Banyak orang yang berada di situ juga bersorak dengan penuh sukacita.
Mereka tidak dapat membezakan bunyi sorakan sukacita daripada suara tangisan kerana suara mereka begitu lantang sehingga dapat didengar dari jauh.
Ya, ada orang yang menangis dan ada yang bersorak dengan penuh sukacita
apabila asas Rumah Tuhan selesai dibina.
Suara mereka begitu lantang sehingga dapat didengar dari jauh. Tetapi penduduk di negeri jiran tidak gembira.
Mereka membuat rancangan jahat untuk merampas sukacita orang Israel.
Mari kita baca tentang hal ini di Ezra 4:1-3.
Musuh orang Yehuda dan Benyamin mendapat tahu bahawa orang yang telah pulang daripada pembuangan sedang membina semula Rumah Yehuwa.
Maka mereka segera pergi berjumpa dengan Zerubabel dan ketua-ketua puak. Mereka berkata,
Benarkanlah kami membina rumah ini bersama-sama kamu. Seperti kamu, kami juga menyembah Tuhan kamu dan mempersembahkan korban kepada-Nya.
Namun, Zerubabel dan Yeshua serta ketua puak Israel yang lain berkata,
Kamu tidak boleh menyertai kami untuk membina sebuah rumah untuk Tuhan kami. Kami sendiri akan membinanya untuk Yehuwa, seperti yang diperintahkan Raja Kores.
Zerubabel sedar bahawa musuh mereka berniat jahat.
Apabila dia menolak bantuan mereka, mereka cuba menghalang kerja pembinaan Rumah Tuhan.
Sekarang mari kita lihat apa yang berlaku seterusnya di ayat 4 hingga 7.
Orang di negeri itu terus menjatuhkan semangat orang Yahudi, supaya pembinaan itu dihentikan.
Mereka juga mengupah penasihat untuk menggagalkan rancangan orang Yahudi.
Mereka berbuat demikian sepanjang pemerintahan Raja Kores, bahkan sampai masa pemerintahan Raja Darius.
Pada awal pemerintahan Raja Ahasweros, mereka menulis surat yang mengandungi tuduhan terhadap penduduk Yehuda dan Yerusalem.
Pada masa pemerintahan Raja Artahsasta pula, Bislam, Mitredat, Tabeel, dan rakan-rakannya, menulis surat kepada Raja Artahsasta.
Mari kita baca surat yang ditulis oleh Rehum dan rakan-rakannya kepada raja.
Perhatikan tuduhan palsu yang dibuat mereka di Ezra 4:11-16.
Inilah kandungan surat yang dikirimkan oleh mereka:
Kepada Raja Artahsasta, surat ini daripada hamba-hamba tuanku dari wilayah seberang Sungai Efrat.
Hendaklah tuanku maklum bahawa orang Yahudi sudah tiba di Yerusalem, dan sedang membina semula kota yang derhaka dan jahat itu.
Mereka hampir selesai membina tembok kota itu dan memperkukuh asas kota itu.
Kami ingin memberitahu tuanku bahawa jika kota itu dan temboknya selesai dibangunkan, mereka tidak akan membayar cukai.
Oleh itu, pendapatan kerajaan akan berkurangan.
Kami juga memaklumkan hal ini kepada tuanku kerana pendapatan kami datangnya dari istana dan kami tidak mahu kepentingan tuanku diketepikan.
Jika tuanku memeriksa buku sejarah,
tuanku akan mendapati bahawa penduduk kota ini ialah orang yang derhaka
dan sering merugikan para pemerintah dan wilayah pemerintahan tuanku.
Sejak dahulu lagi, terdapat para pemberontak di dalam kota ini, dan itulah sebabnya kota ini dimusnahkan.
Jika kota ini dan temboknya siap dibangunkan,
tuanku pasti tidak akan berkuasa lagi atas wilayah di seberang Sungai Efrat.
Pernahkah anda mendengar tuduhan palsu seperti itu?
Itulah tuduhan yang biasanya dilemparkan oleh musuh kita hari ini.
Mereka kata, kita tidak bayar cukai, kita melawan kerajaan, kita pemberontak.
Semua ini tuduhan palsu.
Tuduhan sebegini berkesan pada zaman Ezra, sehingga raja menghentikan kerja pembinaan Rumah Tuhan.
Hal itu memang menyedihkan.
Apabila orang Yahudi kembali ke Yerusalem, mereka tidak takut akan manusia. Tetapi sekarang mereka menjadi takut dan berhenti bekerja.
Hari ini semakin banyak orang menentang kerja kita.
Tetapi, jika kita berhenti melakukan kerja Yehuwa, kita akan hilang sukacita.
Jika kita tetap setia, kita akan tetap bersukacita biarpun menghadapi tentangan yang teruk.
Perhatikan contoh seorang saudari.
Saudari itu dan anak perempuannya dikelilingi sekumpulan orang
yang memaksa mereka membeli kad parti politik.
Jika mereka menjadi takut dan membeli kad itu, kumpulan penentang itu akan gembira.
Tetapi, mereka akan rasa sangat sedih kerana telah mengecewakan Tuhan Yehuwa.
Saudari kita tidak membeli kad itu.
Walaupun mereka diejek dan dihina, mereka memiliki hati nurani yang bersih.
Mereka merasakan sukacita yang sejati kerana mereka tetap setia kepada Yehuwa.
Bagaimana pula dengan orang Yahudi?
Ramai yang tinggalkan hidup yang selesa di Babilon untuk kembali ke Yehuda.
Selama 14 tahun, dari waktu asas Rumah Tuhan diletakkan
sehingga raja menghentikan kerja mereka, mereka ditentang tanpa henti.
Sekarang mereka patah semangat. Biarpun mereka masih mempersembahkan korban,
mereka tidak lagi mematuhi perintah Yehuwa untuk menyiapkan pembinaan Rumah Tuhan.
Mereka fikir Yehuwa tidak mahu mereka menyiapkan kerja pembinaan pada waktu itu.
Bahkan Gabenor Zerubabel dan Imam Agung Yeshua pun perlu digalakkan.
Maka Yehuwa mengutus Nabi Hagai untuk menggalakkan mereka.
Mari kita buka Bible ke Hagai bab 1.
Kata-kata Hagai membantu mereka untuk mengenal pasti punca masalah mereka.
Sila ikut pembacaannya di Hagai 1:2-11.
Yehuwa berfirman,
Umat ini berkata,
Masanya belum tiba untuk membina semula Rumah Yehuwa.
Yehuwa berfirman lagi melalui Nabi Hagai,
Adakah sekarang masanya untuk kamu tinggal di dalam rumah kamu yang indah, sedangkan Rumah-Ku masih dalam keadaan hancur?
Perhatikanlah cara hidup kamu. Kamu menabur banyak benih, tetapi tuaian kamu sedikit.
Kamu makan, tetapi tidak kenyang.
Kamu minum, tetapi tidak puas. Kamu berpakaian, tetapi masih kesejukan.
Kamu bekerja, tetapi upah kamu seperti disimpan di dalam kantung yang berlubang.
Yehuwa berfirman,
Naiklah ke gunung untuk mengambil kayu balak lalu binalah semula Rumah-Ku. Dengan demikian, Aku akan senang hati dan dimuliakan.
Yehuwa berfirman,
Kamu mengharapkan hasil tuaian yang banyak, tetapi yang kamu dapat sedikit sahaja.
Apabila kamu membawa hasil tuaian itu ke dalam rumah,
Aku meniupnya sehingga semuanya hilang.
Aku melakukan hal itu kerana Rumah-Ku masih dalam keadaan hancur,
tetapi kamu semua sibuk menguruskan rumah masing-masing.
Itulah sebabnya langit tidak menurunkan embun, dan tanah tidak mengeluarkan hasil tanaman.
Aku mendatangkan kemarau atas tanah, gunung, gandum, wain baharu,
minyak, tumbuh-tumbuhan, dan atas segala sesuatu yang kamu usahakan.
Manusia dan ternakan turut menderita disebabkan kemarau itu.
Yehuwa menyamakan usaha orang Yahudi dengan upah yang disimpan dalam kantung yang berlubang.
Oleh sebab mereka mengabaikan Rumah Yehuwa, Yehuwa tidak memberkati mereka.
Maka hasil usaha mereka sedikit sahaja dan mereka kurang sukacita.
Jadi, ada orang yang mencari sukacita dengan mencantikkan rumah mereka.
Tetapi harta benda tidak dapat memuaskan keperluan rohani.
Apa yang dapat kita pelajari dari hal ini?
Ya, tidak salah untuk memiliki harta benda.
Tetapi ingatlah harta benda tidak dapat membawa sukacita yang berkekalan,
lebih-lebih lagi jika kita mengabaikan khidmat kepada Yehuwa.
Ingatlah kata-kata di Mazmur 127:1.
Selain itu, jika kita mengutamakan Kerajaan Tuhan dan kehendak-Nya, Dia akan memberikan keperluan kita pada masa yang tepat.
Amsal 10:22 kata,
Ada yang berpendapat bahawa Rumah Tuhan yang akan dibina semula ini tidak akan mulia seperti dahulu.
Tetapi melalui Hagai, Yehuwa berfirman bahawa Rumah Tuhan ini akan menjadi lebih mulia.
Mari teruskan pembacaan di Hagai 2:3-9.
Adakah sesiapa dalam kalangan kamu yang masih ingat betapa mulianya Rumah-Ku yang dahulu?
Bagaimana pula keadaan Rumah-Ku sekarang?
Jika dibandingkan, bukankah Rumah-Ku yang dahulu jauh lebih mulia?
Yehuwa berfirman,
Tabahkanlah hatimu, hai Zerubabel, hai Yosua anak Yehozadak.
Tabahkanlah hati kamu, hai umat-Ku, dan teruskanlah pekerjaan itu.
Ketahuilah bahawa Aku menyertai kamu semua.
Ingatlah akan janji-Ku kepada kamu semasa kamu keluar dari Mesir.
Sejak masa itu, Aku membimbing kamu dengan kuasa suci-Ku. Maka janganlah berasa takut.
Yehuwa berfirman,
Tidak lama lagi, Aku akan menggoncangkan langit, bumi, laut, dan darat sekali lagi.
Aku akan menggoncangkan semua bangsa, dan segala sesuatu yang bernilai dalam kalangan semua bangsa akan dikumpulkan.
Aku akan memenuhi Rumah-Ku dengan kemuliaan. Segala perak dan emas merupakan milik-Ku.
Rumah-Ku yang baharu ini akan lebih mulia berbanding dengan Rumah-Ku yang dahulu.
Apabila Yehuwa, Pencipta segala sesuatu, menyatakan kehendak-Nya, tiada sesiapa atau apa pun yang dapat menghalang Dia daripada melaksanakan kehendak-Nya.
Firman Yehuwa cukup jelas. Tetapi masih ada orang Israel yang perlu lebih banyak galakan.
Yehuwa mengutus malaikat-Nya kepada seorang lagi nabi-Nya, iaitu Zakharia.
Sila buka Zakharia 1:12-16,
dan mari baca bagaimana malaikat itu menggalakkan orang Israel.
Zakharia 1:12-16.
Malaikat Yehuwa berkata,
Ya Yehuwa, Engkau sudah murka terhadap Yerusalem dan kota-kota Yehuda selama 70 tahun.
Sampai bilakah mereka harus menunggu belas kasihan-Mu?
Dengan kata-kata yang ramah, Yehuwa melegakan hati malaikat yang bercakap kepada aku itu. Kemudian malaikat tersebut berkata kepadaku,
Demikianlah firman Yehuwa,
Aku mengambil berat dan sangat mengasihi Yerusalem dan Sion.
Tetapi Aku sangat murka terhadap bangsa-bangsa yang berasa aman dan tenteram.
Kemurkaan-Ku terhadap umat-Ku hanyalah sedikit, tetapi bangsa-bangsa itu membuat penderitaan umat-Ku bertambah parah lagi.
Oleh itu, Aku akan kembali ke Yerusalem dan menunjukkan belas kasihan terhadap penduduknya.
Rumah-Ku akan dibina semula di situ, dan tali penyukat akan direntangkan supaya Yerusalem dibina semula.
Kemudian, malaikat itu meyakinkan Zakharia bahawa Yehuwa akan melindungi umat-Nya.
Mari baca bab 2:7-9.
Hai penduduk Sion yang tinggal di Babilon, larilah dari situ!
Setelah Tuhan dimuliakan, Dia telah mengutus aku kepada bangsa-bangsa yang merampas harta milik kamu, kerana Yehuwa telah berfirman,
Sesiapa yang menyentuh kamu, menyentuh biji mata-Ku. Sekarang tangan-Ku akan menentang mereka, dan hamba mereka sendiri akan merampas harta milik mereka.
Ketika itu, kamu akan tahu aku telah diutus oleh Yehuwa.
Sudah pasti anda tidak akan biarkan orang lain untuk mencucuk mata anda. Begitu juga, Yehuwa tidak akan membiarkan musuh mencederakan umat Israel.
Di Zakharia 3:1, 2, malaikat itu menunjukkan siapakah dalang di sebalik tentangan mereka.
Dia kemudiannya menunjukkan Imam Agung Yosua yang berdiri di hadapan malaikat Yehuwa,
manakala Syaitan berdiri di sebelah kanan Yosua dan hendak menentangnya.
Kemudian malaikat Yehuwa berkata,
Hai Syaitan, semoga Yehuwa menegur kamu. Semoga Yehuwa, yang telah memilih Yerusalem, menegur kamu!
Tidakkah orang ini bagaikan sebatang kayu yang disambar keluar daripada api?
Adakah hal ini bermaksud bahawa orang Israel boleh yakin pada diri sendiri?
Pasti tidak. Mereka harus ingat bahawa hanya dengan bantuan Yehuwa mereka dapat berjaya.
Sekarang perhatikan lagi kata-kata malaikat itu di Zakharia 4:6, 7.
Inilah firman Yehuwa kepada Zerubabel:
Semua perkara ini akan berlaku bukan dengan kekuatan tentera ataupun kekuatan manusia, melainkan dengan kuasa suci-Ku.
Di hadapan Zerubabel, halangan yang setinggi gunung pun akan diratakan. Dia akan membawa keluar batu puncak Rumah Tuhan, dan orang akan berseru,
Betapa indahnya!
Setelah mendengar kata-kata galakan daripada dua orang nabi Yehuwa, iman orang Yahudi dikuatkan dan mereka menyambung semula kerja pembinaan Rumah Tuhan.
Maka, musuh orang Israel yang diketuai oleh Tatenai dan Syetar-bozenai bertindak dengan segera.
Mari kita kembali ke buku Ezra. Kita baca 5:3-5.
Pada masa itu, Tatenai bersama Syetar-bozenai dan rakan-rakan mereka datang berjumpa dengan orang Yahudi. Mereka bertanya,
Siapakah yang memerintah kamu untuk membina rumah ini dan menyelesaikan pembinaannya?
Mereka juga bertanya,
Siapakah nama-nama orang yang membina rumah ini?
Oleh sebab Tuhan memperhatikan orang Yahudi,
Tatenai dan rakannya tidak menghalang kerja orang Yahudi sebelum menghantar laporan kepada Darius dan mendapat surat daripadanya.
Apa lagi yang dapat kita belajar?
Jika kita melakukan kerja Yehuwa dengan berani, biarpun ditentang,
Yehuwa pasti memberkati kita dan membantu kita untuk terus berkhidmat kepada-Nya.
Buat sementara orang Yahudi harus teruskan kerja mereka walaupun kerja mereka dilarang.
Tetapi, raja yang mengenakan larangan itu telah dibunuh selepas tujuh bulan memerintah.
Jadi, Tatenai dan rakan-rakannya harus berurusan dengan raja yang baru, iaitu Darius.
Mereka memberitahu Raja Darius bahawa orang Israel melakukan kesalahan,
dan mereka membina semula Rumah Tuhan atas perintah Raja Kores.
Mereka minta Raja Darius untuk menyiasat perkara itu.
Maka raja Darius memerintahkan agar siasatan dilakukan.
Apakah keputusan Raja Darius?
Adakah orang Yahudi yang menunjukkan iman akan bersukacita, atau adakah mereka akan menghadapi lebih banyak cabaran?
Darius mendapat tahu bahawa Kores memang ada mengeluarkan perintah agar Rumah Tuhan dibina semula.
Mari baca jawapan Darius di Ezra 6:6-12.
Wahai Tatenai, gabenor di wilayah seberang Sungai Efrat,
dan Syetar-bozenai serta rakan-rakan kamu,
iaitu pembantu pegawai di wilayah seberang Sungai Efrat,
jangan ganggu orang Israel di sana dan jangan halang kerja pembinaan Rumah Tuhan.
Biarlah gabenor orang Yahudi dan para pemimpin mereka membina semula Rumah Tuhan di tempat asalnya.
Selain itu, beta mengeluarkan perintah kepada kamu untuk membantu para pemimpin orang Yahudi membina semula Rumah Tuhan dengan cara berikut:
Berilah mereka wang daripada perbendaharaan diraja untuk menampung perbelanjaan mereka. Buatlah demikian dengan segera agar kerja mereka tidak tergendala.
Tiap-tiap hari, berilah para imam di Yerusalem apa sahaja yang diminta oleh mereka,
sama ada lembu jantan muda, bebiri jantan, anak bebiri,
ataupun gandum, garam, wain, dan minyak.
Dengan demikian, mereka dapat terus mempersembahkan korban yang menyenangkan hati Tuhan
dan mendoakan kesejahteraan raja dan anak-anaknya.
Beta juga mengeluarkan perintah bahawa jika seseorang melanggar perintah ini,
salah satu tiang rumahnya akan dicabut lalu dia akan digantungkan pada tiang tersebut, dan rumahnya akan dijadikan tandas awam.
Tuhan telah meletakkan nama-Nya secara kekal di Rumah-Nya.
Semoga Dia menyingkirkan mana-mana raja atau orang yang melanggar perintah ini dan yang mencuba memusnahkan Rumah Tuhan di Yerusalem.
Beta, Raja Darius, telah mengeluarkan perintah ini. Laksanakanlah perintah ini dengan segera.
Ya, Tatenai dan rakan-rakannya terpaksa mematuhi perintah raja
dan tidak menghalang kerja pembinaan Rumah Tuhan.
Sebaliknya, mereka harus menampung kos pembinaannya. Ini sesuatu yang menggembirakan.
Pada tahun 511 SM, orang Yahudi mengadakan upacara pentahbisan Rumah Tuhan dengan sukacita.
Mari kita baca di ayat 22.
Mereka semua menyambut Perayaan Roti Tidak Beragi dengan gembira selama tujuh hari.
Yehuwa telah menyebabkan mereka bersukacita dan membuat raja Assyria berkenan kepada mereka
dan menyokong mereka dalam kerja pembinaan rumah Tuhan yang benar.
Hari ini, kita bersyukur apabila pegawai kerajaan yang baik hati menolong kita.
Tapi, kita paling bersyukur kepada Yehuwa kerana seperti Amsal 21:1 kata,
Jadi, kita tidak berharap pada mana-mana pemerintah atau organisasi manusia.
Mereka tidak dapat menyelamatkan kita.
Sebenarnya, sebelum sistem Syaitan berakhir mereka akan melawan umat Yehuwa.
Tetapi mereka akan dijatuhkan hukuman yang lebih teruk daripada hukuman Tatenai.
Apakah yang dapat kita pelajari daripada buku Ezra, Hagai, dan Zakharia?
Pertama, Yehuwa akan memberkati kita jika kita terus melakukan kerja-Nya
biarpun dilanda cabaran dan Dia akan menggagalkan usaha musuh kita.
Kedua, jika kita mengutamakan kerja Yehuwa dan bukannya kebendaan,
Dia akan berikan kita sukacita yang sejati. Apakah kerja yang diberikan Yesus kepada kita?
Sebelum naik syurga, dia menyuruh murid-muridnya,
Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku.
Jadi adakah kita mengutamakan kerja ini dan melakukannya dengan sepenuh hati?
Hagai menubuatkan bahawa Rumah Tuhan yang baharu akan lebih mulia
daripada Rumah Tuhan yang dibina oleh Salomo.
Nubuat itu menjadi kenyataan hari ini.
Menerusi kerja penyebaran, Yehuwa sedang menggoncangkan semua bangsa
dan orang yang berhati jujur akan datang kepada-Nya.
Ya, jutaan orang akan datang kepada Rumah Rohani Tuhan.
Mereka beriman kepada korban tebusan Yesus
dan dapat menyembah Tuhan dengan penuh sukacita.
Sekarang bukanlah masanya untuk mengejar kebendaan
atau bertumpu kepada hal-hal lain yang tidak penting.
Tidak lama lagi pada waktu yang kita tidak sangka, dunia Syaitan akan berakhir dan dunia baharu akan tiba.
Jadi janganlah membiarkan godaan atau halangan daripada Syaitan membuat kita kehilangan sukacita.
Semoga kita terus menyembah Yehuwa sehingga dunia baharu tiba.
Di situ, kita akan menikmati kedamaian dan sukacita yang berkekalan.
Zerubabel, Yosua, Hagai, dan Zakharia telah bantu orang Israel untuk membaiki hubungan mereka dengan Yehuwa.
Kemudian pada 468 SM, Ezra datang ke Yerusalem untuk sokong ibadat sejati. Tapi orang Israel perlu lebih banyak bimbingan.
Maka Yehuwa mengutus seorang lagi pemimpin yang berani kepada mereka.
Dalam dua hari yang berikutnya, kita akan belajar tentang lelaki yang setia ini, iaitu Nehemia.