JW subtitle extractor

Yehuwa Terus Menunjukkan Kasih Setia

Video Other languages Share text Share link Show times

Dalam sistem dunia ini, kita
semua pasti menghadapi cubaan.
Pernahkah anda tertanya-tanya,
“Adakah Yehuwa akan bantu saya?
Jika ya, bila?”
Yehuwa akan menyokong kita
semasa kita menghadapi kesusahan.
Mengapa kita begitu pasti?
Kerana sifat Yehuwa yang
paling utama ialah kasih.
Mari kita belajar tentang sifat yang murni ini
dan cara untuk menunjukkannya
melalui kisah Yusuf.
Yusuf dilahirkan lebih daripada
3,700 tahun lalu di Mesopotamia.
Bapanya ialah Yakub,
yang juga dikenali sebagai Israel.
Yusuf ada 10 orang abang tiri dan
seorang adik kandung, iaitu Benyamin.
Semasa Yusuf sangat muda, dia ditindas oleh
10 orang abangnya yang cemburu terhadapnya.
Namun,
ketabahan Yusuf bukan sahaja menyelamatkan
seluruh keluarganya daripada kebuluran,
tetapi juga membolehkan kita
menerima berkat yang kekal.
Sila buka Bible anda dan mengikuti pembacaan
di Kejadian 37 ayat 2 hingga 11.
Ketika Yusuf berumur 17 tahun,
dia menjaga ternakan bersama
anak-anak Bilha dan Zilpa,
iaitu isteri-isteri bapanya.
Yusuf memberitahu bapanya tentang hal-hal
jahat yang dilakukan oleh abang-abangnya.
Israel lebih menyayangi Yusuf
daripada anak-anaknya yang lain,
kerana Yusuf dilahirkan ketika dia sudah tua.
Dia mengambil sehelai jubah yang istimewa
lalu memberikannya kepada Yusuf.
Ketika abang-abang Yusuf nampak
bahawa bapa mereka
lebih menyayangi Yusuf daripada mereka semua,
mereka mula membencinya dan tidak mahu
bercakap baik-baik dengannya.
Pernah sekali, Yusuf bermimpi lalu
menceritakan mimpinya.
Hal itu membuat mereka
bertambah benci terhadap dia.
Dengarlah mimpiku.
Aku nampak kita sedang
mengikat gandum di tengah ladang.
Kemudian, berkas gandumku berdiri tegak,
dan berkas-berkas gandum kamu
sujud kepada berkas gandumku.
Abang-abangnya berkata,
Adakah kamu akan menjadi raja
dan berkuasa atas kami?
Oleh itu, mereka semakin membenci Yusuf
kerana mimpi dan kata-katanya.
Kemudian dia bermimpi lagi
lalu dia menceritakan mimpinya,
Aku bermimpi lagi.
Kali ini
matahari,
bulan,
dan 11 bintang bersujud kepadaku.
Ketika dia menceritakan mimpi itu
kepada bapa dan abang-abangnya,
bapanya menegurnya,
Apakah maksud mimpi kamu itu?
Adakah aku, ibumu, dan adik-beradikmu
akan datang dan sujud kepadamu?
Abang-abangnya berasa iri hati terhadapnya,
tetapi bapanya tetap memikirkan kata-katanya.
Keluarga Yusuf tidak dapat menerima
maksud mimpinya itu!
Namun, Yakub tetap memikirkan
apa yang diceritakan oleh Yusuf.
Dia merenungkan mimpi anaknya berulang kali.
Barangkali, dia sedar bahawa mimpi itu
diberikan oleh Yehuwa.
Tetapi itu bukanlah reaksi abang-abang Yusuf.
Mari kita terus baca
Kejadian 37 ayat 18 hingga 36.
Dari jauh mereka nampak Yusuf sedang datang.
Tetapi sebelum dia sampai,
mereka berkomplot untuk membunuhnya.
Mereka berkata,
Tengok, si tukang mimpi sudah datang!
Marilah kita bunuh dia dan
campakkannya ke dalam sebuah lubang.
Kemudian kita kata dia sudah
dibaham oleh binatang buas.
Kita lihatlah apa yang berlaku nanti
dengan mimpi-mimpinya.
Ketika Ruben mendengar hal itu,
dia mencuba menyelamatkan Yusuf.
Maka dia berkata,
Janganlah kita membunuhnya.
Janganlah kita menumpahkan darahnya.
Campakkan saja dia ke dalam lubang
di padang belantara ini,
tetapi janganlah mencederakannya.
Ruben berkata begitu kerana dia
merancang untuk menyelamatkan Yusuf
dan menghantarnya pulang kepada bapanya.
Sebaik sahaja Yusuf sampai, abang-abangnya
menanggalkan jubah istimewa yang dipakainya.
Mereka menangkapnya dan mencampakkannya
ke dalam sebuah lubang yang kering.
Semasa abang-abang Yusuf duduk dan makan,
mereka nampak rombongan
orang Ismael dari Gilead
yang sedang dalam perjalanan ke Mesir.
Unta-unta mereka membawa getah wangi,
balsam, dan kulit pokok.
Yehuda berkata,
Apakah keuntungannya
jika kita membunuh adik kita
dan menyembunyikan perbuatan kita?
Mari kita jual dia kepada
rombongan orang Ismael itu.
Janganlah kita sakiti dia
kerana dia tetap adik kita,
darah daging kita.
Mereka pun mendengar kata-kata Yehuda.
Apabila beberapa orang
pedagang Midian lalu di situ,
mereka mengeluarkan Yusuf daripada lubang itu
lalu menjual dia kepada orang Ismael
dengan harga 20 keping wang perak.
Maka Yusuf dibawa ke Mesir.
Apabila Ruben kembali ke lubang itu
dan tidak menjumpai Yusuf di situ,
dia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih.
Ruben balik kepada adik-adiknya dan berkata,
Anak itu sudah hilang!
Apakah yang harus aku lakukan sekarang?
Maka mereka menyembelih seekor kambing jantan
dan mencelup jubah Yusuf ke dalam
darah kambing itu.
Selepas itu, mereka mengirimkan jubah itu
kepada bapa mereka dan berkata,
Kami jumpa jubah ini.
Tolonglah periksa sama ada jubah ini
milik anak ayah atau tidak.
Yakub pun memeriksa jubah itu dan berseru,
Ini memang jubah anak lelakiku!
Seekor binatang buas
pasti telah menyerang Yusuf
dan mencarik-cariknya!
Yakub mengoyakkan pakaiannya kerana sedih
lalu mengenakan kain guni pada pinggangnya.
Dia meratapi kematian anaknya
selama berhari-hari.
Semua anak Yakub asyik mencuba
untuk menghiburkan hatinya,
tetapi dia tidak mahu dihiburkan.
Dia berkata,
Aku akan meratapi kematian anakku
sehingga aku masuk ke dalam Kuburan!
Demikianlah Yakub terus meratapi anaknya.
Orang Midian telah menjual
Yusuf kepada Potifar,
pegawai Firaun yang merupakan
ketua pengawal istana.
Perubahan yang amat besar!
Seorang anak kesayangan kini menjadi hamba!
Abang-abang Yusuf tidak menunjukkan kasih
setia kepadanya dan bapa mereka Yakub.
Lebih teruk lagi,
mereka tidak mengasihi Yehuwa,
Bapa mereka di syurga.
Hamba-hamba Yehuwa yang setia pun
mungkin menjadi mangsa ketidakadilan.
Ada kalanya,
kita mungkin dilayan dengan
tidak adil oleh rakan seiman.
Adakah anda sedang
menghadapi cubaan sebegitu?
Cubaan ini sebenarnya memberi anda peluang
untuk membuktikan kasih anda kepada Yehuwa.
Bagaimana?
Perhatikan reaksi Yusuf semasa dicubai,
di Kejadian 39 ayat 1 hingga 23.
Yusuf dibawa oleh orang Ismael ke Mesir,
lalu dijual kepada Potifar,
seorang pegawai Firaun yang
merupakan ketua pengawal istana.
Yehuwa menyertai Yusuf
sehingga dia berjaya
dalam segala pekerjaannya.
Dia dilantik untuk mengurus
rumah tangga tuannya, orang Mesir itu.
Tuannya melihat bahawa
Yehuwa menyertai Yusuf,
dan Yehuwa memberinya kejayaan
dalam segala yang dilakukannya.
Yusuf disukai Potifar,
dan dilantik menjadi pembantu peribadinya.
Potifar melantik Yusuf untuk mengurus
seluruh rumah tangganya
dan segala kepunyaannya.
Sejak Potifar berbuat demikian,
Yehuwa sentiasa memberkati
rumah tangganya demi Yusuf.
Yehuwa memberkati segala
yang dimiliki orang Mesir itu,
baik yang di rumah,
mahupun yang di ladang.
Akhirnya, Potifar mempercayakan semua
yang dimilikinya kepada Yusuf.
Dia langsung tidak perlu risau tentang
hal-hal yang diurus oleh Yusuf,
kecuali soal makanannya.
Yusuf ialah seorang yang
berbadan tegap dan kacak.
Beberapa lama kemudian,
isteri Potifar terpikat
dengan Yusuf dan berkata,
Tidurlah dengan aku.
Tetapi Yusuf menolak dan berkata,
Tuan Potifar sudah mempercayakan
segala miliknya kepadaku.
Di dalam rumah ini,
akulah yang paling berkuasa,
dan aku diberi kuasa atas segala-galanya
kecuali puan, kerana puan isterinya.
Jadi bagaimana mungkin aku
melakukan perbuatan sejahat ini
dan berdosa terhadap Tuhan?
Hari demi hari, dia memujuk Yusuf
tetapi Yusuf tetap tidak mahu berdua-duaan
dengannya ataupun tidur dengannya.
Tetapi pada suatu hari,
semasa Yusuf masuk ke dalam
rumah untuk melakukan kerjanya,
tiada seorang hamba pun di situ.
Isteri Potifar menarik baju Yusuf dan berkata,
Tidurlah dengan aku!
Yusuf melarikan diri ke luar,
tetapi bajunya tertinggal
di tangan wanita itu.
Sebaik sahaja wanita itu nampak hal itu,
dia mula berteriak kepada hamba-hambanya,
Lihat!
Orang Ibrani yang dibawa
oleh suami aku menghina kita.
Dia datang kepada aku untuk merogol aku,
tetapi aku menjerit dengan sekuat hati.
Sebaik sahaja dia mendengar
aku berteriak dengan sekuat hati,
dia meninggalkan bajunya
di sampingku lalu berlari ke luar.
Isteri Potifar meletakkan baju itu di sampingnya
sehingga Potifar, majikan Yusuf, pulang.
Isteri Potifar kemudiannya memberitahu
suaminya hal yang sama.
Dia berkata,
Hamba Ibrani yang kamu bawa itu
datang untuk menghina aku.
Tetapi sebaik sahaja aku menjerit
dengan sekuat hati,
dia meninggalkan bajunya di sampingku
lalu berlari ke luar.
Ketika majikan Yusuf mendengar isterinya berkata,
“Begitulah hambamu memperlakukan aku,”
dia menjadi sangat marah.
Dia menangkap Yusuf dan
memasukkannya ke dalam penjara.
Penjara itu merupakan tempat
raja mengurung tahanan,
dan di situlah Yusuf ditahan.
Tetapi Yehuwa terus menyertai Yusuf
dan menunjukkan kasih setia kepadanya
sehingga dia disenangi oleh ketua penjara.
Ketua penjara itu menugaskan Yusuf untuk
mengurus semua tahanan di dalam penjara itu.
Yusuf bertanggungjawab atas segala
pekerjaan yang dilakukan oleh mereka.
Ketua penjara itu langsung tidak risau tentang
hal-hal yang dipercayakan kepada Yusuf,
kerana Yehuwa menyertai Yusuf
dan membuat Yusuf berjaya
dalam segala pekerjaannya.
Yehuwa terus menjaga Yusuf,
dan membuat Yusuf berjaya
dalam segala pekerjaannya.
Mengapakah Yehuwa begitu mengasihi Yusuf?
Kerana Yusuf mengasihi Tuhan
dalam apa jua keadaan.
Daripada pengalaman Yusuf,
kita belajar bahawa jika kita
terus mengasihi Yehuwa,
Dia tidak akan meninggalkan kita!
Dia pasti memberikan bantuan
pada masa yang tepat,
supaya kita dapat bertahan.
Semasa di penjara,
Yusuf disuruh menjaga
dua orang tahanan yang istimewa:
Ketua pengurus minuman
dan ketua pengurus roti Firaun.
Pada suatu malam,
mereka masing-masing mendapat
suatu mimpi yang membingungkan.
Yehuwa telah membantu Yusuf
untuk mentafsirkan mimpi mereka,
dan apa yang dikatakan Yusuf memang terjadi.
Di Kejadian 40 ayat 14,
Yusuf memberitahu ketua pengurus minuman itu,
“Ingatlah akan aku
apabila keadaan tuan sudah baik.
Tunjukkanlah kasih setia kepadaku
dan beritahulah Firaun tentangku
agar aku dapat dibebaskan dari penjara ini.”
Tetapi orang itu lupa akan Yusuf.
Dua tahun kemudian, Firaun juga mendapat
dua mimpi yang membingungkan.
Mimpi pertama: Lembu yang gemuk
dimakan lembu yang kurus.
Mimpi kedua: Gandum yang berisi
dimakan oleh gandum yang kurus dan layu.
Tiada seorang pun antara imam
dan orang yang berilmu di Mesir
dapat menjelaskan maksudnya.
Akhirnya, ketua pengurus minuman Firaun
memberitahunya bahawa Yusuf
dapat mentafsirkan mimpi.
Maka Yusuf segera dipanggil dari penjara.
Mari kita baca Kejadian 41 ayat 25 hingga 32.
Yusuf yang berumur 30 tahun,
kini menghadap raja.
Yusuf berkata kepada Firaun,
Kedua-dua mimpi tuanku
mempunyai erti yang sama.
Tuhan yang benar sudah menyatakan
apa yang akan dilakukan oleh-Nya.
Tujuh ekor lembu yang sihat itu
bererti tujuh tahun.
Demikian juga, tujuh bulir gandum
yang berisi itu bererti tujuh tahun.
Tujuh ekor lembu yang kurus
dan buruk rupanya, yang muncul kemudian,
dan tujuh bulir gandum yang tidak berisi dan layu
kerana ditiup oleh angin timur yang panas,
bererti kebuluran selama tujuh tahun.
Tuhan sudah menyatakan apa
yang bakal dilakukan oleh-Nya.
Selama tujuh tahun,
seluruh negeri Mesir akan
melimpah-limpah dengan makanan.
Selepas itu, kebuluran akan
berlaku selama tujuh tahun,
dan negeri Mesir akan menjadi tandus.
Kebuluran itu akan sangat dahsyat,
sehingga tiada seorang pun yang akan ingat
bahawa pernah ada kelimpahan
makanan di negeri ini.
Tuanku bermimpi dua kali
kerana Tuhan sudah menentukan
bahawa hal ini pasti berlaku,
dan Dia akan melaksanakannya
dengan segera.
Yusuf mencadangkan rancangan untuk
menghadapi kebuluran yang bakal melanda.
Firaun amat suka dengan penjelasan
dan nasihat Yusuf
sehingga melantiknya sebagai penguasa
yang kedua tertinggi di seluruh Mesir!
Lapan tahun kemudian,
seluruh kawasan itu dilanda kebuluran.
Keluarga Yakub juga dipengaruhi.
Maka dia menyuruh anak-anaknya untuk
membeli makanan di Mesir.
Sepuluh orang anak Yakub pun bertolak ke Mesir,
tetapi anak bongsunya, Benyamin,
tidak pergi bersama mereka.
Sepuluh abang Yusuf menghadapnya
dan sujud kepadanya,
seperti yang berlaku dalam
mimpi Yusuf bertahun-tahun lalu.
Yusuf mengenali mereka,
tetapi mereka tidak mengenalinya.
Dia bercakap kepada mereka dalam bahasa Mesir
melalui seorang jurubahasa,
dan menyembunyikan identitinya.
Kini, Yusuf harus memilih.
Adakah dia akan menyusahkan abang-abangnya?
Adakah dia akan menghalau mereka kerana
menganggap mereka tidak layak dibantu?
Atau adakah dia akan mencari peluang untuk
berbaik semula dengan mereka?
Adakah dia akan meniru kasih setia Yehuwa?
Bagaimana pula dengan anda?
Yusuf ingin tahu sama ada mereka sudah berubah
atau masih dikuasai rasa benci dan dengki.
Maka
dia menuduh mereka sebagai pengintip,
dan berkata bahawa Simeon akan ditahan,
sehingga mereka kembali bersama Benyamin.
Mari kita baca Kejadian 42 ayat 21 hingga 24.
Kita dihukum kerana kesalahan
kita terhadap adik kita.
Sewaktu dia menderita,
dia merayu agar kita berbelas
kasihan terhadapnya,
tetapi kita tidak peduli.
Itulah sebabnya kita menderita sekarang.
Ruben berkata,
Bukankah aku telah berkata,
“Jangan cederakan anak itu”?
Tetapi kamu tidak mahu dengar.
Sekarang kita harus bertanggungjawab
kerana kita telah menumpahkan darahnya.
Tetapi mereka tidak tahu bahawa Yusuf
memahami kata-kata mereka.
Yusuf meninggalkan mereka
dan mula menangis.
Kemudian dia kembali lalu mengikat
Simeon di hadapan mereka semua.
Ruben menyesal kerana
pernah menindas Yusuf.
Tetapi adakah dia dan adik-adiknya
benar-benar insaf?
Untuk mengetahui jawapannya,
Yusuf menyuruh abang-abangnya
kembali ke Kanaan
dan membawa Benyamin,
adik bongsu mereka, ke Mesir.
Apakah reaksi Yakub terhadap permintaan itu?
Sila lihat Kejadian 42 ayat 36 dan 37.
Yusuf sudah tiada,
Simeon sudah tiada,
dan sekarang kamu hendak
mengambil Benyamin?
Akulah yang terpaksa menghadapi
semua penderitaan ini!
Ruben berkata,
Ayah boleh bunuh dua orang anak lelaki saya
jika saya tidak bawa Benyamin pulang.
Serahkanlah dia ke bawah jagaan saya,
dan saya akan bawanya kembali kepada ayah.
Yakub berkeras enggan membiarkan
Benyamin pergi bersama mereka.
Tetapi pada tahun kedua kebuluran itu,
Yakub sekeluarga sudah kehabisan makanan.
Adakah Yakub sanggup membiarkan Benyamin
pergi bersama abang-abangnya ke Mesir
untuk mendapatkan lebih banyak makanan?
Lihatlah apa yang berlaku di Kejadian 43
ayat 8 hingga 10, 13, dan 14.
Kemudian Yehuda memujuk bapanya Israel,
Izinkanlah anak itu ikut saya ke sana
supaya kita semua tidak mati kebuluran.
Saya akan menjamin keselamatannya
dan bertanggungjawab terhadapnya.
Jika saya gagal membawanya pulang,
saya akan menanggung dosa
terhadap ayah seumur hidupku.
Sebenarnya jika kami tidak berlengah-lengah,
pasti kami sudah berulang-alik dua kali.
Bawalah adik kamu dan pergilah.
Semoga Tuhan Yang Maha Kuasa
membuat lelaki itu berbelas kasihan
terhadap kamu,
supaya dia mengizinkan kamu membawa
kembali Simeon dan Benyamin.
Bagi aku,
jika aku terpaksa kehilangan anakku,
aku harus menghadapinya.
Dahulu, Yehuda melayan Yusuf dengan buruk,
tetapi kini dia rela bertanggungjawab
sepenuhnya atas Benyamin,
anak kesayangan bapanya.
Maka
Yakub membenarkan mereka kembali ke Mesir
dan menyuruh mereka membawa
banyak hadiah untuk Yusuf.
Mari kita baca Kejadian 43 ayat 26 hingga 30.
Apabila Yusuf masuk ke dalam rumah,
mereka memberikan hadiah-hadiah itu
kepadanya dan bersujud di hadapannya.
Kamu pernah memberitahu aku
tentang bapa kamu yang sudah tua.
Bagaimanakah keadaannya?
Adakah dia masih hidup?
Mereka menjawab,
Bapa kami masih hidup dan sihat.
Kemudian mereka bersujud di hadapannya.
Apabila Yusuf melihat Benyamin,
adiknya yang seibu dengannya,
dia berkata,
Inikah adik kamu yang bongsu itu,
yang kamu beritahu aku dahulu?
Dia juga berkata,
Anakku, semoga Tuhan memberkati kamu.
Yusuf segera keluar untuk mencari
tempat untuk menangis
kerana dia begitu terharu
semasa melihat adiknya.
Dia masuk ke dalam sebuah bilik untuk
bersendirian lalu mula menangis.
Yusuf telah menguji abang-abangnya
untuk mengetahui isi hati mereka.
Bagaimana?
Dia menyuruh hamba-hambanya mengisi
guni mereka dengan makanan,
tetapi dia juga mengarahkan
supaya cawan peraknya
dimasukkan secara sembunyi
ke dalam guni Benyamin.
Tidak lama selepas mereka bertolak,
Yusuf menyuruh hamba-hambanya
mengejar mereka.
Hamba-hamba itu menemui
mereka dan bertanya,
“Mengapa kamu mencuri
cawan perak tuan kami?”
Abang-abang Yusuf menafikan tuduhan itu.
Mereka menambah,
“Biarlah sesiapa yang didapati
mempunyai cawan itu dihukum mati.”
Maka hamba-hamba itu
periksa guni setiap orang,
dan menjumpai cawan itu
dalam guni Benyamin!
Abang-abang Yusuf mengoyakkan pakaian
mereka kerana sedih dan bingung.
Mereka dan Benyamin pun
kembali ke rumah Yusuf.
Mereka semua bersujud kepada Yusuf,
lalu Yehuda berkata,
“Tuhan yang benar telah
mendedahkan kesalahan kami.
Sekarang, kami semua
akan menjadi hamba tuan.”
Yusuf terus menguji mereka dengan berkata,
“Yang lain boleh pulang.
Tetapi Benyamin harus jadi hambaku!”
Yehuda merayu,
“Jika saya gagal membawanya pulang,
ayah saya pasti mati,
dan saya akan berdosa terhadap
ayah seumur hidup.”
Yehuda tidak sampai hati melihat ayahnya
kehilangan seorang lagi anak kesayangan,
maka dia menawarkan diri
untuk menggantikan tempat Benyamin.
Mari kita baca reaksi Yusuf di
Kejadian 45 ayat 1 hingga 15.
Yusuf tidak dapat menahan perasaannya
lagi di hadapan semua hambanya.
Maka dia berseru,
Suruh semua orang keluar!
Tiada orang lain yang bersamanya semasa dia
memperkenalkan diri kepada adik-beradiknya.
Kemudian Yusuf menangis dengan begitu kuat
sehingga orang Mesir dan
seisi istana Firaun mendengarnya.
Akhirnya Yusuf berkata,
Aku Yusuf.
Adakah bapaku masih hidup?
Tetapi mereka sangat terkejut
sehingga tidak dapat
menjawabnya sama sekali.
Yusuf berkata,
Marilah dekati aku.
Maka mereka mendekatinya.
Lalu dia berkata,
Aku Yusuf,
adik kamu yang kamu jual ke Mesir.
Janganlah susah hati dan salahkan satu
sama lain kerana menjual aku ke sini.
Tuhanlah yang menghantarku
ke sini terlebih dahulu
agar dapat menyelamatkan nyawa kamu.
Sekarang baru tahun kedua masa kebuluran,
dan ada lima tahun lagi orang
tidak akan membajak atau menuai.
Tetapi Tuhan telah menghantarku
terlebih dahulu
agar aku dapat menyelamatkan kamu,
supaya keturunan kamu akan terus hidup.
Jadi, yang menghantarku ke sini
sebenarnya bukan kamu,
tetapi Tuhan yang benar.
Dia telah melantikku sebagai
ketua penasihat Firaun,
penguasa seluruh rumah tangganya,
dan pemerintah seluruh negeri Mesir.
Pulanglah dengan segera kepada bapaku,
dan katakan kepadanya,
“Anakmu Yusuf berkata,
‘Tuhan telah melantik saya menjadi
penguasa atas seluruh negeri Mesir.
Datanglah dengan segera.
Ayah dapat tinggal di negeri Gosyen,
dekat dengan saya,
bersama semua anak cucu ayah,
ternakan ayah,
dan segala sesuatu yang ayah miliki.
Saya akan membekalkan
makanan untuk ayah,
kerana kebuluran akan berlanjutan
selama lima tahun lagi.
Dengan ini, rumah tangga ayah
tidak akan menjadi miskin.’”
Sekarang kamu semua dan adikku Benyamin
dapat lihat dengan mata sendiri bahawa
sayalah yang bercakap kepada kamu.
Maka, beritahulah bapaku tentang segala
sesuatu yang telah kamu lihat.
Bawalah bapaku ke sini dengan segera.
Yusuf memeluk Benyamin dan menangis.
Benyamin juga menangis sambil memeluknya.
Kemudian Yusuf memeluk dan
mencium semua abangnya
lalu menangis.
Maka Yakub dan kira-kira 70 orang
ahli keluarganya berpindah ke Mesir.
Mereka tinggal di tanah Gosyen.
Selama 215 tahun, keturunan Yakub tinggal
di Mesir dan bertambah banyak,
sehingga masanya kira-kira tiga juta
orang Israel menyeberangi Laut Merah
dan akhirnya menduduki Tanah yang Dijanjikan.
Melalui Yusuf, Yehuwa telah
memelihara garis keturunan Mesias.
Apakah yang kita belajar
daripada kisah Yusuf?
Tidak kira apa situasinya, Yusuf menunjukkan
kasih setia kepada Yehuwa.
Selama bertahun-tahun, dia dilanda
cubaan demi cubaan,
tetapi dia tidak menjadi marah dan kecewa.
Hari ini, kita mungkin tidak dapat kawal
cubaan apa yang akan melanda kita,
tetapi kita dapat mengawal reaksi kita.
Kita tidak akan marah terhadap Yehuwa.
Sebaliknya, kita akan membuktikan
kasih kita kepada Yehuwa
dengan menolak apa sahaja perbuatan
yang akan menyakiti hati-Nya.
Semasa situasi Yusuf bertambah baik,
dia menunjukkan
kasih setia kepada keluarganya,
meskipun abang-abangnya pernah
melayannya dengan buruk.
Tahukah anda, kasih setia Yusuf telah
membolehkan satu nubuat menjadi kenyataan!
Pada zaman Abraham, iaitu moyang Yusuf,
Yehuwa telah bernubuat bahawa
430 tahun kemudian,
Dia akan menyelamatkan umat-Nya.
Jika Yusuf tidak menunjukkan kasih setia,
bagaimanakah nubuat itu dapat berlaku?
Jelaslah, kasih setia kita terhadap rakan
seiman sangat penting bagi Yehuwa.
Oleh itu, jika seseorang melukai perasaan anda,
janganlah menyebarkan gosip tentangnya
ataupun membalas dendam.
Berusahalah untuk berdamai dengannya.
Ingatlah,
Yehuwa mengasihi saudara saudari kita,
dan kita juga patut menunjukkan
kasih setia kepada mereka!
Kisah ini juga menonjolkan kasih setia Yehuwa.
Yusuf ditinggalkan oleh keluarganya,
difitnah oleh isteri majikannya,
dan dipenjarakan.
Tetapi “Yehuwa terus menyertai Yusuf dan
menunjukkan kasih setia kepadanya.”
Mengapa?
Yusuf seorang yang setia,
maka Yehuwa juga setia kepadanya.
Cara Yehuwa melayan Yusuf
juga menunjukkan kasih setia-Nya
terhadap bangsa Israel.
Melalui Yusuf,
Yehuwa telah memelihara
garis keturunan Mesias
dan memastikan agar janji-Nya
untuk selamatkan orang Israel
ditunaikan tepat pada masanya.
Hal ini sangat melegakan, bukan?
Orang lain mungkin mengecewakan anda,
mengejek anda, memfitnah anda,
atau melayan anda dengan buruk.
Tetapi jika anda tetap setia,
Yehuwa tidak akan meninggalkan anda.
Dia tidak pernah melupakan Yusuf,
dan Dia tidak akan melupakan
hamba-Nya yang setia.
Maka berpautlah pada Yehuwa,
dan Dia akan terus menunjukkan
kasih setia kepada anda.