JW subtitle extractor

Pengenalan kepada Bible

Video Other languages Share text Share link Show times

Pengenalan kepada Bible.
Bible ialah koleksi tulisan-tulisan kuno
yang mengandungi mesej Tuhan kepada semua orang.
Sekitar 40 lelaki telah menulis Bible dalam
bahasa Ibrani, Aram, dan Yunani.
Mereka menulisnya dengan menggunakan huruf Ibrani dan Yunani.
Para penulisnya berasal daripada pelbagai latar belakang
dan tempat yang berbeza
di sekitar Timur Tengah dan selatan Eropah.
Namun, kandungan Bible saling berkaitan dan tidak bercanggah.
Tuhan menyampaikan fikiran-Nya kepada penulis Bible dalam pelbagai cara.
Itulah sebabnya Bible kata
“segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan.”
Bible mula ditulis pada 1513 SM
dan mengambil masa kira-kira 1,600 tahun untuk disiapkan.
Beberapa buku yang terakhir siap ditulis sekitar 98 M.
Bible mengandungi 66 buku kecil, dan dibahagikan kepada dua bahagian,
iaitu Kitab Ibrani, yang sering dipanggil Perjanjian Lama,
dan Kitab Yunani Kristian, yang dikenali sebagai Perjanjian Baharu.
Kitab Ibrani terdiri daripada 39 buku yang pertama.
Lima buku pertama, iaitu Pentateuch,
adalah tentang kisah penciptaan sehingga pembentukan bangsa Israel kuno.
Buku-buku seterusnya mengisahkan sejarah bangsa itu.
Mereka memasuki Tanah yang Dijanjikan,
tetapi kemudiannya ditawan kerana mereka tidak taat.
Akhirnya, mereka kembali ke Israel.
Buku puisi mengandungi lagu pujian kepada Tuhan dan kata-kata hikmat.
Buku nubuat adalah tentang masa depan umat Tuhan,
serta mengandungi arahan dan amaran daripada Tuhan.
Dua puluh tujuh buku yang terakhir dikenali
sebagai Kitab Yunani Kristian.
Empat buku pertamanya, iaitu buku Gospel,
adalah tentang kehidupan dan kerja penyebaran Yesus.
Kisah Para Rasul pula menceritakan sejarah sidang Kristian.
Seterusnya, terdapat 21 surat yang
mengandungi nasihat dan galakan bagi orang Kristian.
Buku terakhir, iaitu Wahyu, mengandungi penglihatan dan nubuat.
Dalam Bible, Tuhan memperkenalkan diri sebagai Pencipta,
serta memberitahu tujuan-Nya dan nama peribadi-Nya,
iaitu Yehuwa, seperti yang dipaparkan dalam tulisan Ibrani kuno ini.
Tahukah anda?
Nama Tuhan, iaitu Yehuwa, muncul lebih daripada 7,000 kali dalam Bible.
Nama ini disebut jauh lebih banyak berbanding nama-nama lain.
Tujuan Yehuwa adalah supaya semua makhluk di syurga dan bumi
hidup di bawah pemerintahan-Nya buat selamanya.
Tapi pada awal sejarah manusia, satu malaikat jahat, iaitu Syaitan,
menyamar sebagai ular dan mencabar kedaulatan Yehuwa.
Yehuwa akan menyucikan nama-Nya,
dan memulihkan pemerintahan-Nya melalui Kerajaan-Nya.
Itulah tema Bible.
Untuk jawab tuduhan Syaitan,
manusia diizinkan untuk memerintah diri.
Sedihnya, pemerintahan manusia membawa banyak kesengsaraan.
Tapi, untuk melaksanakan tujuan-Nya,
Yehuwa mengutus seorang Penyelamat, iaitu Mesias,
yang juga akan menjadi Raja Kerajaan Tuhan.
Seraya masa berlalu, identiti Mesias telah disingkapkan.
Dialah Yesus, Anak Tuhan dari syurga,
yang dilahirkan sebagai manusia.
Yesus ajar orang tentang Tuhan,
dan mengorbankan nyawanya untuk menyelamatkan manusia.
Akhirnya, Yesus dibangkitkan ke syurga.
Kemudian, Yesus menghalau malaikat yang jahat dari syurga.
Sebagai Raja Kerajaan Tuhan,
Yesus akan memerintah bersama 144,000 orang
yang telah dibawa dari bumi.
Kerajaan Tuhan akan memulihkan bumi menjadi Firdaus.
Tujuan Tuhan akan tercapai apabila semua makhluk di syurga dan bumi
menyembah-Nya sebagai Tuhan yang benar
dan Pemerintah yang berdaulat.
Semasa membaca Bible,
perhatikan kandungannya yang tidak bercanggah,
nasihatnya yang berguna,
dan bagaimana setiap buku menyokong temanya,
iaitu penyucian nama Yehuwa,
yang akan dilaksanakan melalui Kerajaan Tuhan
dan Rajanya, Yesus Kristus.